Manfaatkan Pusat Maklumat Rakyat

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Orang ramai termasuk pelajar sekolah disarankan memanfaatkan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) yang terletak di setiap Pejabat Daerah di negeri ini.


Pengarah Penerangan negeri, Shahnon Mohamad, berkata, satu kerugian sekiranya hab maklumat itu tidak digunakan sedangkan ia berperanan memberikan info maklumat kepada orang ramai termasuk yang berkaitan agensi kerajaan dan dasar kerajaan.


Menurutnya, jabatan itu juga sentiasa mengambil pelbagai pendekatan dalam menarik minat terutama pelajar sekolah untuk mengunjungi dan menggunakan pusat berkenaan secara percuma.


“Kita sentiasa mengalu-alukan orang ramai menggunakan kemudahan yang disediakan termasuk jalur lebar percuma selain mencuba permainan kenegaraan menerusi aplikasi kahoot-it yang terdapat di Pejabat Penerangan Daerah Melaka Tengah di tingkat 16, Menara Persekutuan.


“Malah terdapat pegawai penerangan di setiap daerah yang akan membantu dan memberikan maklumat yang tepat dalam masa yang sama tempat rujukan,” katanya.


Shahnon berkata demikian ketika menerima lawatan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek, (STHAM) Cheng di Pejabat Daerah Melaka Tengah di Menara Persekutuan, Ayer Keroh, di sini, semalam.


Jelasnya, menerusi aplikasi itu pengunjung layak menyertai kuiz kenegaraan bertepatan dalam usaha menyemarakkan sambutan kemerdekaan Ogos ini.


“Pendekatan berlainan ini juga selaras dengan era digital untuk jabatan ini memberi maklumat kenegaraan dengan cara unik sekali gus menarik minat golongan muda untuk memperoleh maklumat kenegaraan lebih santai dan secara tidak langsung memupuk semangat cintakan negara,” katanya.


Dalam pada itu, seramai 40 pelajar dan guru sekolah berkenaan menjadi kumpulan pertama berpeluang menyertai permainan interaktif kenegaraan tersebut.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]