Menyamar bot nelayan tempatan

in Edisi by


PASIR PUTEH – Tindakan nelayan Vietnam mewarnakan bot mereka seperti bot tempatan untuk mengaburi mata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) tidak berjaya apabila aktiviti mereka dikesan petang, semalam.


Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dua bot yang menceroboh perairan negara itu dikesan Bot Peronda Maritim diketuai Bentara Kanan Maritim Mohd Asri Awang kira-kira 67 batu nautika dari Kuala Tok Bali.


Menurutnya, seramai 25 nelayan Vietnam berusia dari 17 hingga 56 tahun dari dua bot itu ditahan dan bot ditunda ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.


“Kedua-dua bot disyaki menangkap ikan menggunakan kaedah tunda ganding, kita berjaya tahan satu bot dan satu lagi bot cuba lolos tetapi berjaya ditahan selepas mengejarnya selama sejam,” katanya.


Beliau berkata, nilai rampasan menerusi Ops Damai itu mencecah RM2 juta merangkumi nilai bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan.


Sehingga semalam katanya, Maritim Kelantan berjaya menahan 23 bot yang mana 13 daripadanya merupakan bot nelayan Vietnam yang menyamar sebagai nelayan tempatan.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]