'Perkahwinan pengikut ajaran Ahmadiah boleh dibubarkan'

in Nasional by


SHAH ALAM – Orang Islam yang disabitkan sebagai pengikut ajaran Ahmadiah/Qadiani boleh menyebabkan perkahwinan mereka dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah.


Justeru, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya berwaspada dan tidak terpengaruh dengan kepercayaan ajaran terbabit.


Pengerusi Mais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan ajaran terbabit menyalahi ajaran Islam dan dihukumkan kafir oleh ulama Islam serata dunia pada tahun 1998.


Katanya, pengikut ajaran tersebut juga tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya dan orang tersebut tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat-kerabat Muslimnya.


Beliau sebelum itu berkata, ajaran berkenaan diasas Miza Ghulam Ahmad yang  mendakwa dirinya nabi menerima wahyu, mempunyai mukjizat dan mendakwa Nabi Isa telah mati dan kuburnya di Srinagar.


Ajaran tersebut katanya bertentangan dengan aqidah umat Islam yang beriman bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan nabi yang terakhir dan mukjizat hanya berlaku kepada nabi sahaja


Di Selangor, pengikut-pengikut ajaran Ahmadiah/Qadiani pernah dibicarakan di hadapan Sultan Selangor pada 15 Disember 1953, dihukum sebagai murtad dan dituntut supaya bertaubat.


“Pada tahun 2014, seramai 39 orang Islam (yang mendakwa diri mereka pengikut ajaran Ahmadiah/Qadiani) disiasat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana lakukan kesalahan di bawah subseksyen 97(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAINS 2003).


“Mereka didapati menggunakan premis atau bangunan (Premis Persendirian) sebagai masjid bagi menjalankan atau menunaikan solat Jumaat tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais),” katanya.


Beliau berkata, susulan itu, satu permohonan semakan kehakiman difail 39 pengikut ajaran Ahmadiah/Qadiani di MahkamahTinggi Shah Alam terhadap tindakan penguat kuasaan dijalankan pihak Jais.


Tambah beliau pada 6 Julai 2018 Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan Mahkamah Syariah di Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa ke atas penganut kumpulan tersebut berdasarkan fatwa namun mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan kesalahan berkaitan penggunaan sesuatu bangunan sebagai masjid tanpa kebenaran Mais.


“Mais menyokong tindakan Kerajaan Negeri Selangor dan Jais yang akan failkan rayuan terhadap keputusan ini.


“Mais tegaskan bidang kuasa mengisytiharkan status agama seseorang itu bukan lagi orang Islam adalah di bawah kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Selangor,” katanya.


Beliau berkata, tiada seorang pun daripada 39 orang pengikut ajaran tersebut yang disiasat pernah dibicarakan di Mahkamah Syariah, disabitkan sebagai pengikut ajaran Ahmadiah/Qadiani atau dihukumkan sebagai tidak lagi beragama Islam.


Semua pengikut ajaran tersebut juga katanya, mengakui masih beragama Islam dalam semua keterangan mereka.


“Justeru selagi belum ada pengisytiharan oleh Mahkamah Syariah bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam, maka seseorang itu hendaklah dianggap sebagai masih lagi beragama Islam serta boleh disiasat dan didakwa atas apa-apa kesalahan di bawah undang-undang Syariah di Negeri Selangor.


“Umat Islam dinasihat menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Jais untuk sebarang maklumat berhubung ajaran ini,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]