Rasuah: Bekas pegawai kanan ditahan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – [DIKEMASKINI] Bekas pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Johor ditahan SPRM negeri kerana dipercayai bersubahat membuat tuntutan palsu.


Jurucakap SPRM Johor berkata, suspek yang merupakan wanita berusia 30 tahun ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi, susulan tangkapan lima kontraktor yang dipercayai membuat tuntutan palsu itu semalam.


“Susulan tangkapan lima kontraktor, suspek yang pernah bertugas sebagai pegawai kanan dipercayai telah bersubahat membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Karnival Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Keusahawanan.


“Tuntutan palsu itu dibuat untuk program SDSI yang berlansung di daerah Segamat, Mersing, Muar, Kluang, Tangkak dan Kulai selain turut membuat tuntutan untuk Program Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan Peringkat Negeri Johor.


“Jumlah keseluruhan tuntutan palsu yang dituntut adalah melebihi RM400,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.


Terdahulu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut yang dibuat pihaknya bagi membantu siasatan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]