RM3 juta biayai rombongan haji Kerajaan Johor

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi membiayai perbelanjaan tambang 400 bakal haji rombongan Kerajaan Johor pada tahun ini.


Semua bakal jemaah haji tersebut akan berlepas pada 27, 28 dan 29 Julai ini menerusi tiga penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).


Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, kesemua bakal haji berkenaan dipilih berdasarkan beberapa kriteria.


“Kita mengambil kira mereka yang pergi haji pertama dan mereka yang sudah berjasa kepada kerajaan negeri.


“Di samping itu, kita membawa beberapa pegawai mewakili kerajaan negeri untuk memantau dan memberikan sedikit sebanyak nasihat dan pandangan kepada (bakal) jemaah haji terutama dari Johor yang mendapat sumbangan kerajaan negeri,” katanya selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Bersama-sama Bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor bagi tahun 1439H bersamaan 2018M di Persada Johor, di sini, semalam.


Osman berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Johor akan meneruskan tradisi membiayai bakal haji rombongan Kerajaan Johor yang sebelum ini dilaksanakan pentadbiran terdahulu.


Katanya, pentadbiran Harapan tidak menolak kemungkinan akan menambah jumlah kuota dan amaun untuk disubsidikan bagi rombongan Kerajaan Johor dari masa ke semasa jika kewangan negeri baik.


“Salah satu daripada pendekatan Harapan adalah meningkatkan lagi syiar Islam. Kita memang peka dan juga kita sentiasa memikirkan tentang agama Islam.


“Berilah peluang, masa dan ruang untuk kita memikirkan sesuatu pendekatan yang mungkin akan kita buat lebih baik lagi,” katanya.


Difahamkan, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan juga dijangka bertolak sama mewakili Kerajaan Johor.


Sementara itu, Osman sempat menasihatkan bakal jemaah haji agar menjaga imej negeri ini sepanjang berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah kerana Johor sememangnya terkenal dengan pendekatan agama Islam yang tinggi.


“Janganlah lakukan perkara yang boleh mencemar dan berikan kesan negatif terhadap negeri Johor, amnya Malaysia.


“Gunakan kesempatan selama lebih 40 hari dengan fokus kepada niat untuk menunaikan haji,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]