Sembilan majikan ingkar dikesan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seramai sembilan majikan dalam pelbagai sektor dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Kerja 1955, sempena Ops Patuh 11, di sekitar Dungun dan Kuala Terengganu, kelmarin.


Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Terengganu, Burhanuddin Jusoh berkata, operasi yang dijalankan secara serentak di dua daerah terbabit mendapati sembilan daripada 13 majikan yang diperiksa melakukan kesalahan terhadap pekerjanya.


Burhanuddin berkata, majikan terlibat ialah lima daripada kontraktor pembersihan kawasan sekolah-sekolah di sekitar negeri, seorang daripada sektor kawalan keselamatan dan tiga lagi daripada sektor-sektor lain.


“Siasatan mendapati ada majikan yang tergamak melakukan potongan gaji pekerja tidak sah selain kelewatan membayar gaji tanpa alasan kukuh.


“Selain itu juga didapati ada majikan gagal menyediakan dan langsung tidak memberikan salinan kontrak perkhidmatan kepada pekerja,” katanya dalam siaran media dikeluarkan hari ini.


Jelasnya lagi, dalam operasi melibatkan seramai 15 pegawai penguatkuasa JTK, turut berjaya dikesan ada majikan gagal menyediakan penyata gaji pekerja selain gagal membayar gaji pokok minima sebanyak RM1,000 seperti ditetapkan.


“Susulan siasatan lanjut dijalankan, kita jangka sebanyak enam kertas siasatan akan dibuka bagi pelanggaran Akta Kerja 1955 dan Perintah Gaji Minima 2016,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]