Usaha tangani masalah perkhidmatan bas

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Kerajaan negeri sedang berunding dengan dua syarikat baharu untuk mengatasi masalah perkhidmatan bas henti-henti Cityliner di laluan tertentu yang terpaksa ditamatkan bermula sejak kelmarin.


Exco Pengangkutan, Azman Nasrudin berkata, syarikat berkenaan terpaksa mengurangkan dan memberhentikan perkhidmatan secara berperingkat di beberapa laluan berikutan kerana tidak mampu menampung kos operasi.


Katanya, syarikat itu menyediakan perkhidmatan di tujuh laluan di Kedah, antaranya Alor Setar- Sungai Petani, Alor Setar-Pendang, Sungai Petani-Taman Bandar Baharu, Sungai Petani-Taman Ria Jaya, Sungai Petani-Taman Keladi, Sungai Petani-Butterworth dan Butterworth-Padang Serai.


“Bermula 15 Julai, perkhidmatan bas Cityliner itu di beberapa laluan sudah dihentikan sehingga didakwa menimbulkan kesulitan kepada sebilangan penumpang. Malah, ada yang akan menyusul terpaksa mengambil langkah sama.


“Walaupun, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membantu menampung kos operasi. Namun, syarikat tidak dapat meneruskan operasi kerana masalah kos memandangkan bilangan penumpang tidak ramai,” katanya.


Beliau berkata sedemikian dalam sidang media Isu Penggantungan Sepenuhnya Operasi Henti-henti Syarikat Klang Banting Berhad dan Kenderaan Langkasuka Sdn Bhd di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.


Turut hadir, Ketua Cawangan SPAD Kedah, Noorharzuin Halim, Ketua Penguatkuasa SPAD Wilayah Utara, Mejar Ahmad Zaidi Shuib dan Pengurus Cityliner Utara, Ahmad Ridzuan Mohamad.


Azman berkata, bilangan penumpang bas henti-henti bagi sesetengah laluan dilalui Cityliner tidak banyak dipercayai kerana pengguna menggunakan kenderaan sendiri dan masalah ketiadaan stesen bas.


Katanya, pihaknya memandang serius masalah ketiadaan perkhidmatan bas henti-henti yang menjadi keperluan penduduk khususnya pelajar dan pekerja di beberapa kawasan, sekaligus akan cuba mengatasi masalah itu dalam kadar segera.


Azman berkata, kerajaan negeri bersama SPAD sedang mencari syarikat baharu dan akan menyediakan lesen pengendalian bas untuk jangka pendek bagi laluan tertentu demi memudahkan penumpang.


“Kita bercadang memberi lesen pengendalian jangka pendek untuk sebulan atau dua bulan melibatkan kawasan terlibat selepas operasi Cityliner dihentikan,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]