28 tukun dilabuh di perairan Besut

in Edisi Terengganu by


KUALA BESUT –  Jabatan Perikanan negeri Terengganu akan memperluaskan penggunaan tukun tiruan konkrit atau tukun dasar lembut sebagai alternatif untuk meningkatkan sumber perikanan di seluruh kawasan perairan pantai negeri ini.


Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Helmi Harun berkata, selain itu ia mampu menghalang kedatangan penceroboh bot nelayan pukat tunda terutama di kawasan nelayan pantai.


Menurutnya,  bekalan ikan yang ditangkap oleh nelayan negeri ini masih tidak mampu menampung keperluan penduduk dan usaha ini diharap dapat membantu menyelesaikan sebahagian masalah ini.


“Selain kekurangan habitan tempat pembiakan ikan, ia  diburukkan lagi dengan pencerobohan bot pukat tunda yang menangkap ikan di kawasan nelayan menggunakan bot kelas A.


“Apabila ada tukun konkrit ini, bot pukat tunda tidak akan berani menangkap ikan di kawasan tersebut kerana akan menyebabkan pukat mereka rosak,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Melabuh Tukun Tiruan 2018 di perairan Besut semalam.


Hadir sama Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali dan Pengarah Lembaga Kemajuan Pemasaran Pertanian Malaysia (Fama) Terengganu, Fauzi Mohamad.


Katanya, sebanyak 28 tukun bernilai RM500,000 dilabuhkan di perairan tersebut dalam tempoh dua hari termasuk sepuluh tukun diturunkan semalam menggunakan kren.


Menurutnya, sebanyak 1,312 unit tukun tiruan  bernilai RM9.97 juta  telah dlabuhkan di perairan negeri ini  sejak tahun 2006 sehingga 2015.


Sementara itu menurut Zawawi, tukun dasar lembut dibina dalam bentuk segiempat bertingkat (empat tingkat) dengan setiap satu seberat 19 tan.


Kata beliau, kos sebuah tukun itu ialah RM12,000 termasuk insuran dan dilabuhkan sejauh 4.8 batu nautika dari Kuala Besut  dan 2.6 batu dari Pulau Perhentian.


“Tukun ini  memainkan peranan meningkatkan pendapatan nelayan daripada aktiviti perikanan komersil dan rekreasi,” katanya.


 

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]