Derma RM40, makan durian sampai puas

in Edisi Selangor KL by


SUBANG JAYA – Derma RM40 dan anda boleh nikmati raja buah serta buah-buahan tempatan selama sejam di The Summit USJ, Sabtu dan Ahad ini.


Menerusi Program Amal Jom Durian kali ke-11 anjuran Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia (CWS) dengan kerjasama The Summit USJ itu, hasil jualan akan digunakan bagi memenuhi impian akhir kanak-kanak menderita sakit kronik.


Naib Presiden CWS, Teoh Teik Hoong berkata, program kali ini dijangka  meriah dan dianjur dua hari berturut-turut.


“Sesi untuk sektor korporat yang ingin menyumbang dengan membeli meja berharga RM5,000 atau RM10,000 dibuka pada hari Sabtu. Penyumbang akan diberi meja untuk 10 orang dan boleh menikmati raja buah itu hingga puas.


“Pada hari sama diadakan meja khas untuk orang ramai yang ingin nikmati raja buah namun harga dikenakan satu kepala sebanyak RM100, mereka boleh makan durian selama tiga jam.


“Program bersambung hari Ahad untuk orang ramai sertai aktiviti makan durian sama ada sesi satu antara 5 hingg 6 petang, sesi kedua 6.15 petang hingga 7.15 malam atau sesi ketiga dari jam 7.30 malam hingga 8.30 malam, pelbagai jenis durian dihidangkan,” katanya.


Beliau berkata, enam tan durian dan buah-buahan tempatan disediakan untuk dinikmati peserta program amal tersebut.


Penggemar durian boleh menikmati seberapa banyak ulas durian yang mereka mampu dalam tempoh satu jam sekali gus menyumbang kepada tabung persatuan.


“Kita harap dapat kutip lebih banyak dana menerusi program amal terbesar di negara ini dan menunaikan lebih banyak impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik,” katanya.


Beliau berkata, sejak lebih 10 tahun lalu CWS sudah  memberi senyuman dan memenuhi 650 impian kanak-kanak dengan dana dikumpul.


 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]