Guna pakai sistem ekonomi Islam

in Edisi by


IPOH – Permasalahan yang berlaku dalam sistem ekonomi seperti perbezaan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat sebenarnya boleh diselesaikan menerusi amalan sistem ekonomi Islam.


Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO),  Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof Datuk Dr Azmi Omar berkata, selain memberikan banyak manfaat kepada manusia, sistem ekonomi Islam juga mampu membendung perkara yang memberi kesan kepada alam sekitar.


Malah menurutnya, sistem perbankan di negara ini juga mengaplikasikan sistem ekonomi Islam dan ia semakin bertambah dari semasa ke semasa.


“Setakat ini di dianggarkan 30%  daripada perbankan Islam di negara ini mengguna pakai sistem ekonomi Islam.


“Bagaimanapun, peratusan berkenaan masih kurang di negara-negara lain. Contohnya, di Indonesia, hanya sekadar 5% sahaja.


“Sebab itu, di Malaysia, kita bukan sahaja bercakap mengenai patuh syariah (syariah compliance), tetapi kita juga bincangkan mengenai Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang dibuat di bank negara dan disambut baik bank-bank lain di seluruh dunia,” katanya.


Azmi berkata demikian bagi mengulas ucapannya  pada sesi pembentangan bertajuk Economy Matters sempena Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) di Casuarina @ Meru, ahari ini.


Tambah Azmi, konsep ekonomi juga tidak sewajarnya dilihat daripada aspek keuntungan semata-mata kerana ia melibatkan beberapa elemen lain seperti  persekitaran serta komuniti.


Katanya, perkara berkenaan terkandung dalam Sustainable Development Goals yang dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatau (PBB) pada 2015 lalu.


“Dalam ekonomi kita tidak boleh melihat konsep mengejar keuntungan sahaja.  Kita harus ambil kira elemen-elemen lain iaitu pertama,  kepada persekitaran dan kedua, impak kepada komuniti.


“Mulai 2016 ada 17 matlamat yang dilancarkan dan mengambil kira dari segi persekitaran, sosial, komponen dan orang ramai,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]