Guru cabul murid perempuan diberkas

in Edisi Selangor KL by


AMPANG – Seorang guru lelaki yang dipercayai mencabul seorang murid perempuan di sebuah sekolah rendah kebangsaan di sini telah ditahan, hari ini.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 53 tahun itu telah ditahan di sekitar Ampang kira-kira jam 2 petang.


“Suspek juga sebelum ini pernah ditangkap dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan pada 2011 ketika dia bertugas sebagai guru di Kajang. Namun kes itu tidak dapat diteruskan kerana pengadu menarik semula laporan polis,” katanya.


Polis turut menyeru mangsa lain dalam kes ini tampil untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya telah menerima laporan polis pada 14 Jun lalu.


“Kita telah membuka kertas siasatan bagi tindakan seterusnya, kita kini sedang melengkapkan siasatan,” katanya.


Dalam kejadian Mei lalu, mangsa berusia 10 tahun dipercayai diajak oleh guru berkenaan ke dalam sebuah bilik kokurikulum sekolah terbabit dengan alasan bagi membantu merekod markah.


Namun, ketika di dalam bilik itu, guru berkenaan menarik tangan mangsa dengan kasar dan memaksanya duduk di atas ribanya selain memegang paha, dada dan bahagian sulit murid perempuan terbabit.


Malah, tiga murid lain dikatakan berada di dalam bilik berkenaan ketika itu dan menyaksikan kejadian terbabit.


Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis pada Jun lalu berhubung kejadian itu sebaik dimaklumkan anaknya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]