JKKP Johor keluar notis pemberhentian kerja

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Susulan tular kejadian kematian seorang pengguna jalan raya di Jalan Kluang-Renggam-Layang-layang dekat Kluang, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengeluarkan notis pemberhentian kerja ke atas kerja-kerja membaiki longkang di lokasi berkenaan.


Pengarah JKKP negeri, Ir Saiful Azhar Mohd Said berkata, tindakan perundangan juga akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) dan Akta Kilang dan Jentera (1967) ke atas pihak yang bertanggungjawab.


“Sehubungan dengan itu, JKKP Johor sedang menyiasat kes yang berlaku bagi mengenalpasti punca kejadian.


“Kita telah mengeluarkan notis pemberhentian kerja ke atas kerja-kerja membaiki longkang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Saiful Azhar berkata, JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja, orang awam mahupun harta benda.


“Semua penggiat industri digesa agar mempertingkat tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.


Terdahulu, kemalangan maut itu melibatkan seorang pengguna jalan raya yang sedang dalam perjalanan dari rumah ke tempat kerja pada jam 7.20 pagi, Isnin lepas.


Semasa dalam perjalanan, kepala mangsa dipercayai terkena pada hujung tiang yang tumbang dan terletak berhampiran dengan lokasi kerja-kerja membaiki longkang.


Mangsa telah terjatuh dari motorsikal yang ditunggangnya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]