Khairy tidak puas hati jawapan Maszlee janji PTPTN

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Jawapan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) didakwa sungguh mengecewakan.


Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau) berkata, jawapan  Maszlee dengan menyatakan kajian berterusan akan dijalankan membuktikan seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) tidak mampu untuk melunaskan janji 100 hari dan hari-hari berikutnya.


“Jawapan Menteri Pendidikan mengenai soalan saya telah bangkitkan berkenaan isu janji 100 hari Harapan yang menyentuh Kementerian Pendidikan iaitu penangguhan bayaran bayaran  PTPTN sehingga gaji mencecah RM4,000 sebulan, walaupun masih ada lagi sebulan, saya lihat jawapan menteri bahawa perkara ini masih sedang dikaji.


“Bahkan  kenyataan daripada Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan semalam bahawa kajian masih lagi dilaksanakan bahawa kemungkinan besar janji ini tidak dapat dilaksanakan. Sebab hari ini menteri pun tak dapat penjelasan berkenaan yang pertama tanggungan kewangan terhadap Kerajaan Persekutuan sekiranya janji ini dilaksanakan,” katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.


Menurut Khairy, apabila janji berkenaan dilaksanakan maka PTPTN akan terpaksa mengambil pinjaman untuk sediakan dana baki pemohon-pemohon  baharu dan pinjaman itu biasanya akan dijamin oleh kerajaan dan ini akan menambah beban kontinjen liabiliti yang dikatakan terlalu besar yang bercanggah dengan polisi Kementerian Kewangan pada ketika ini.


“Jadi saya nak beritahu jawapan hari ini sangat tidak meyakinkan bahawa janji ini dapat dilaksanakan dan saya akan terus menekan kerajaan supaya dapat beri penjelasan dalam masa terdekat.


“Perkara ini amat penting kerana ramai orang muda telah mengundi Harapan berdasarkan janji PTPN ini, ini buktikan kerajaan buat janji tak fikir habis-habis,” tegasnya.


Terdahulu, Khairy membangkitkan tiga soalan kepada Maszlee berkaitan adakah kerajaan sudah mengkaji unjuran masa seorang siswazah untuk capai gaji RM4,000, sepanjang penangguhan bayaran PTPTN, berapa jumlah kerajaan perlukan untuk membiayai peminjam baharu dan impak kewangan kepada PTPTN dengan penangguhan bayaran namun ia hanya dijawab dengan kajian berterusan akan dilakukan.


Dalam pada itu, Wan Saiful ketika ditemui memaklumkan, PTPTN tidak mempunyai data maklumat penuh peminjam.


“Buat masa ini subsidi kerajaan tidak wujud lagi, sebelum ini kita tidak pernah tanya gaji peminjam, jadi tidak ada maklumat untuk buat keputusan penangguhan bayaran ini.


“Kajian yang Menteri Pendidikan jawab tadi ialah berapa gaji peminjam sekarang,” ujarnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]