Kos HSR cecah RM110 bilion: Azmin

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mengesahkan kepada Dewan Rakyat, perkiraan kos keseluruhan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR)  Malaysia-Singapura mencecah RM110 bilion.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berkata kerajaan terdahulu tidak mendedahkan kos-kos tersembunyi dan RM55 bilion hanya kos projek HSR.


Sebelumnya Datuk Wee Kas Siong (BN-Ayer Hitam) mempertikaikan angka RM110 bilion yang disifatkannya dua kali ganda daripada kos diumum kerajaan BN sebelum ini.


“Kos disebut YB AyerHiitam tadi adalah kos projek yang dikatakan RM55 bilion tapi dalam banyak perkara, banyak kos tersembunyi yang tidak didedahkan kerajaan sebelum ini.


“Maka kerajaan Pakatan Harapan bertanggungjawab dedah keseluruhan kos projek ini dan kita akan lihat di mana kemampuan kerajaan untuk biayai projek ini,” katanya ketika sesi persidangan pertama Dewan Rakyat ke-14, hari ini.


Sebelumnya, Azmin memberitahu Dewan Rakyat, kos RM110 bilion tu terlalu tinggi bagi jajaran hanya 350 kilometer (km).


“Berdasarkan perkiraan kos keseluruhan pembinaan HSR dijangka akan menelan belanja RM110 bilion dan jumlah ini amat tinggi untuk jajaran 350 kilometer.


“Pada masa ini kerajaan sedang dalam usaha untuk menangani hutang negara yang mencecah hampir RM1 trilion. Kerajaan putuskan kementerian wakili Malaysia untuk nilai semula perjanjian,” katanya yang akan mengetuai lawatan ke Singapura dalam masa terdekat.


Soalan dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) soal aspek yang dikaki susulan penangguhan projek tersebut.


Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) kemudiannya dalam soalan tambahan mempertikaikan kos tersebut susulan tarikh tutup tender terbuka antarabangsa yang masih berbaki beberapa bulan.


“Hakikatnya tender antarabangsa terbuka hanya akan ditutup 28 Disember nanti. Dalam tender yang dirancang secara telus, jumlah sebenar belum diketahui sebab tender belum ditutup.


“Bagaimana YB boleh nyatakan kos keseluruhan sedangkan tender terbuka belum lagi ditutup? Kalau batal, berapa jumlah pekerjaan akan hilang?,” tanyanya.


Dalam jawapannya, Azmin menegaskan kepentingan tender terbuka seperti yang ditekan pembangkang terdahulu.


“Sebab itu saya sebut ia (RM110 bilion) merupakan satu perkiraan kos bukan harga tender projek berkenaan. Sudah tentu dalam proses biasa, mana-mana bidaan tender terbuka memang akan lakukan penjimatan.


“Sebab tu juga kami sblm ini desak supaya semua projek mesti dibuat dalam tender terbuka. Kenapa baru hari ini YB Pekan faham soal tender terbuka?,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]