Lokman Adam sedia dipanggil beri keterangan

in Nasional by


SUNGAI PETANI – Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil pihak berkuasa atas dakwaan menganjurkan himpunan tanpa permit.


Beliau bagaimanapun menafikan tidak memaklumkan pasukan keselamatan tentang penganjuran Perhimpunan Aman Pertahankan Yang Dipertuan Agong dan Bantahan Terhadap Pemerintahan Kerajaan yang ditunjangi Pakatan Harapan itu, sebaliknya memberikan kerjasama sepenuhnya sejak awal sehingga selesai himpunan.


Katanya, permohonan lisan telah dikemukakan sebelum berhimpun bagi memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman dan perkara itu dikatakan sudah memadai.


“Silakan kalau nak minta saya beri keterangan,  kita ada peguam kita, kita buat sesuatu, kita pasti ikut undang-undang,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan polis yang mendakwa perhimpunan berkenaan tidak mendapat kelulusan selain bersedia memanggil penganjur bagi memberi keterangan.


Lokman ditemui ketika hadir melancarkan Pemantau Malaysia Baharu peringkat Daerah Kuala Muda di Taman Sejati Indah, malam semalam.


Dalam perkembangan sama, Lokman turut mempertikaikan kenyataan media tentang laporan jumlah kehadiran peserta himpunan yang tidak tepat dilaporkan semalam.


“Saya rasa dalam 150 orang pada awalnya dan bila akhir-akhir mencecah ke 300 orang.


“Bagi sesetengah orang 300 nampak kecil tapi bagi saya sangat besar, sebab apa? Sebab 300 orang ni berani turun dan korbankan kerja, masa dan kadang-kadang masa depan,” katanya.


Beliau dalam masa sama melahirkan perasaan kagum tentang budaya baharu dalam Umno apabila ahlinya menggunakan​ duit poket sendiri untuk hadir demi menyelamatkan Umno dan meneruskan perjuangan.


Dalam majlis berkenaan, lebih 300 ahli Pemantau Malaysia Baharu dari Kedah mendaftarkan diri sebagai Pemantau Malaysia Baharu Kuala Muda diketuai Pengerusi, Makbul Ilahi Hashim.


Setakat ini, katanya lebih 20,000 ahli pemantau berdaftar di mana 15,000 pendaftaran secara terbuka manakala selebihnya merupakan ahli tersirat yang bersifat identiti tidak didedahkan.


Lokman bagaimanapun tidak meletakkan sasaran jumlah pemantau yang diperlukan kerana lebih mengutamakan kualiti daripada kuantiti.


“Kita kena ubah mentaliti bukan nak ahli ramai tetapi saya nak ejen perubahan yang ramai,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]