Sambut baik pelantikan Raja Bahrin sebagai senator

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Pelantikan Pengerusi Amanah dan PH Terengganu sebagai senator yang juga wakil tunggal bagi Terengganu disambut baik Timbalan Pengerusi PH Terengganu, Azan Ismail dan ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu.


Azan yang bercakap kepada pemberita berkata, sekurang-kurangnya, pelantikan itu menjadikan Terengganu ada wakil sebagai senator iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, sama seperti Kelantan yang juga mempunyai seorang wakil.


Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi PKR Terengganu berharap pada masa akan datang kedudukan itu diperluaskan supaya lebih banyak suara rakyat dapat dibawa ke hadapan untuk sama-sama didengari sekaligus menyelesaikan apa yang sepatutnya.


“Saya rasa tidak ada dalam kalangan kita (PKR) yang memfokuskan kepada jawatan untuk kepentingan peribadi dan sebagainya tetapi lebih mementingkan khidmat kepada rakyat.


“Kita harus tumpukan kesan dan peluang untuk bantu melicinkan pengurusan dan pentadbiran negeri serta memberi manfaat kepada rakyat Terengganu dan itu yang harus diberi tumpuan,” katanya pada sidang media pada Mesyuarat MPN, di sini, petang tadi.


Semalam media melaporkan lapan orang mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara termasuk Raja Bahrin dan yang lain-lain seperti Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Hussain Awang; Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Kelantan, Asmak Husin dan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu, P Waythamoorthy.


Turut dilapokan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Ketua PPBM Bahagian Ketereh, Mohd Radzi Md Jidin; Ketua PPBM Pulau Pinang, Marzuki Yahya dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Datuk Ismail Ibrahim.


Sementara itu, dalam sidang media sama, Azan bersama 35 Ahli MPN mengumpul tandatangan sebagai tanda sokongan sekaligus menghormati hasrat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding untuk jawatan Presiden Parti dalam pemilihan parti 2018 sebelum November ini.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]