SST: Cassa kecewa tiada perbincangan

in Nasional by


SHAH ALAM – Kerajaan sepatutnya mengambil kira pendapat pihak berkepentingan termasuk rakyat sebelum mengambil keputusan meletakkan kadar pada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan September depan.


Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) Datuk Dr Jacob George  berkata, ini kerana kerajaan perlu memberi pendedahan mengenai perlaksanaan SST dan kesannya terhadap pengguna.


“Saya telah berulangkali menyeru pihak berkepentingan termasuk pensyarah, perancang undang- undang dan sebagainya bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara komprehensif,” katanya.


Bagaimanapun katanya, sehingga kadar SST diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam, tiada sebarang perbincangan dibuat.


“Kami sangat kecewa apabila tiada perbincangan bersama padahal sebelum ini khidmat dan sumbangan telah diberikan kepada  16 orang menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini,” katanya.


Menurutnya, Cassa menyokong perlaksanaan SST namun ia perlu mengambil kira bahawa rakyat juga membayar cukai lain yang memberi kesan terhadap pendapatan mereka.


“Pada dasarnya pengguna agak keliru mengenai SST yang akan menggantikan GST yang sangat dibenci rakyat,” katanya.


Beliau berkata, pasukan petugas juga perlu dilantik bagi bekerjasama dengan kerajaan dan pembuat dasar bagi memperhalusi dan membuat penambahbaikan terhadap akta SST.


“Percubaan perlu dibuat selama 30-60 hari, bagi memperolehi input pengguna sebelum perlaksanaan penuh dibuat. Akta SST haruslah adil, munasabah dan berperikemanusiaan,” katanya.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng cadang cukai jualan 10 peratus ]


Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berpendapat, kerajaan perlu memperkasakan pendidikan mengenai SST agar rakyat memahami selok belok dan dapat mengelakkan daripada ditipu peniaga.


Ketuanya, Datuk Nadzim Johan berkata, rakyat berhak untuk memahami sistem SST yang bakal dilaksanakan itu.


“Rakyat tiada pilihan terpaksa akur, namun kerajaan perlu memperkasakan pendidikan dan pendedahan SST kepada mereka,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]