WCIT 2018 tampil kelainan

in Edisi by


IPOH – Kepelbagaian disiplin daripada pembentang yang berlainan bidang latar belakang ternyata berjaya memberikan kelainan sempena Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT), kali ini.


Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Nordin Kardi berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada peserta yang mengakui kelainan berbanding penganjuran WCIT, sebelum ini.


Malah Nordin menyifatkan, eksperimen berkenaan ternyata menjadikan persidangan kali ini ‘hidup’ selain daripada tema utamanya iaitu Securing The Future.


“Kami buat eksperimen cara baru ini dengan menggabungkan pembentang-pembentang daripada macam-macam disiplin pada WCIT kali ini.


“Macam di sini seorang cakap mengenai technical digital issue dan seorang lagi cakap pasal spirituality di atas pentas yang sama hingga menghasilkan ia berbunyi lain. Tetapi, ini menarik dan orang beri maklum balas kepada saya yang WCIT kali ini memang bagus dan mereka suka.


“Begitu juga dengan sesi mengenai Cultural Language of Religion kita letakkan di situ penganut Buddha, Catholic, ahli bahasa dan juga ahli teologi agama Islam menyifatkan WCIT begitu menarik dan berpotensi untuk dikembangkan ,” katanya.


Nordin berkata demikian bagi mengulas ucapannya  pada sesi pembentangan bertajuk Economy Matters sempena Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) di Casuarina @ Meru, hari ini.


Tambah Nordin, pihaknya juga sedang berbincang bagi meneruskan WCIT dengan dihadiri oleh peserta-peserta dan pembentang  daripada kalangan bukan Islam.


Justeru katanya, eksperimen yang dibuat pada penganjuran kali kelima WCIT ini diharapkan dapat berterusan selepas ini.  


“Dulu mungkin ada yang bukan Islam tapi masih lagi cakap dari perspektif Islam tapi kali ini kita bawa yang tidak kena mengena dengan Islam. Ilmu dia pun tak ada kena mengena dengan Islam.


“Kali ini, pembentang kita melibatkan bukan Islam iaitu  Reveran Joseph Salvador Marino dari Vatican.  Dia langsung tidak bercakap mengenai Islam. Selain itu, Presiden Soka Gakkai International Mr. Michael Kok Fook yang juga tidak bercakap mengenai Islam tapi ia menarik dan orang lain boleh melihatnya daripada perspektif berlainan,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]