Kementerian akan umum program B10 biodiesel hujung tahun

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kementerian Industri Utama akan mengumumkan pelaksanaan program B10 (10 peratus methyl ester minyak sawit dengan 90 peratus diesel petroleum) untuk sektor pengangkutan menjelang hujung tahun, tertakluk kepada kelulusan Kabinet.


Timbalan Menterinya, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata kementerian  sedang mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan berkaitan termasuk Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Persatuan Pengeluar Automobil Jepun (JAMA) dan Institut Automotif Malaysia (MAI) berhubung isu jaminan pengeluar terhadap kenderaan.


Katanya, pelaksanaan program biodiesel ditangguhkan sejak Jun 2016 yang disebabkan oleh beberapa isu teknikal selain jurang harga yang besar antara minyak mentah Brent dan Minyak Sawit Mentah (CPO).


“Dalam situasi sekarang, jurang harga antara kedua-duanya semakin mengecil, menjadikan penggabungan dengan biodiesel untuk program B10 lebih berdaya maju untuk dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Shamsul Iskandar merujuk kepada kenyataannya yang dilaporkan oleh Nikkei Markets bahawa Malaysia hanya akan melaksanakan program B10 bermula pada setengah tahun kedua 2019. -Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]