Ramasamy, Vaiko: Polis terima 53 laporan

in Nasional by


SUBANG JAYA – Polis menerima 53 laporan berhubung isu Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP,  Dr P Ramasamy yang sebelum ini berkongsi gambar bersama anggota kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) iaitu Vaiko atau V Gopalasamy.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, laporan itu diterima pihaknya dari seluruh negara termasuk laporan yang dibuat Ramasamy sendiri.


Menurutnya, pihaknya akan meneliti dan menyiasat setiap laporan yang diterima.


“Awalnya, kes ini dikendalikan oleh Kontinjen Pulau Pinang, kerana kes ini menjadi tumpuan, ia telah diambil alih oleh Unit Siasatan Khas Bukit Aman,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Polis Oleh Konsesi Plus Malaysia Berhad kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Persada Plus, di sini, hari ini.


Dalam majlis ini, sebanyak 15 buah kenderaan jenis Mitsubishi Outlander 2.4L telah disumbangkan kepada PDRM.


Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, Pengerusi Plus Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim dan Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail.


Mengulas lanjut, ketika ditanya sama ada polis akan memanggil Ramasamy untuk dirakam keterangan, Mohamad Fuzi berkata, ia bergantung kepada keperluan.


“Jika perlu, kita akan panggil dalam masa terdekat. Kita perlu lengkapkan kertas siasatan dalam tempoh secepat mungkin sebelum menghantarnya kepada timbalan pendakwa raya,” katanya.


Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan LTTE sebelum ini telah diisytiharkan sebagai organisasi pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Melalui keterangan gambar yang dimuat naik di laman Facebook Ramasamy pada Sabtu lalu, kehadiran Vaiko di Pulau Pinang adalah sebagai undangan majlis perkahwinan.


[ ARTIKEL BERKAITAN:  Vaiko bebas masuk ke Malaysia ]


Pada Jun 2017, Vaiko telah ditahan oleh pegawai imigresen selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dilarang memasuki ke negara ini.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali kemudian telah mengesahkan nama Vaiko kini sudah dikeluarkan daripada senarai hitam.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]