SST dijangka libatkan kurang 100,000 pengilang

in Nasional by


KELANA JAYA – Cadangan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal bermula 1 September ini dijangka hanya melibatkan kurang 100,000 pengilang dan penyedia perkhidmatan berbanding 472,000 syarikat ketika cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan.


Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, jumlah yang lebih kecil itu dilihat lebih mudah dari segi pengurusan dan pemfailan berbanding ketika sistem percukaian SST dan GST diguna pakai negara sebelum ini.


Katanya, pelaksanaan SST kelak akan menggunakan satu sistem yang mudah secara dalam talian.


“Sistem (SST) mudah dan tiada kos kepada pengeluar. Cuma buka sistem itu guna internet, daftar masuk sistem kita dan hantar maklumat diperlukan serta buat pembayaran. Kemudian kita akan terima pengesahan dari situ.


“Berbanding dengan SST yang dulu, mereka (pengilang) kena hantar secara manual, kena datang dan hantar borang cukai. Pada zaman GST pula, ia melibatkan kos-kos tertentu oleh syarikat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sesi Taklimat Penerangan Pelaksanaan SST bersama Industri, di sini, pagi ini.


[ARTIKEL BERKAITAN:Guan Eng cadang cukai jualan 10 peratus]


[ARTIKEL BERKAITAN:Usah keliru, SST bukannya 16 peratus]


[ARTIKEL BERKAITAN:http:Tun M pertahan SST]


Pada 16 Mei lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Akta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan 1 September depan mencadangkan cukai jualan ditetapkan 10 peratus dan cukai perkhidmatan adalah enam peratus.


SST dijangka menghasilkan pendapatan RM4 bilion kepada kerajaan untuk tahun ini dan akan digunakan untuk menutup sebahagian kerugian kerajaan sebanyak RM21 bilion selepas memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula Jun lalu.


Mengulas tentang kenaikan harga barang akibat pelaksanaan SST, Subromaniam berkata, cukai merupakan salah satu komponen dalam faktor harga.


“Bila cakap pasal harga, banyak faktor di luar kawalan kita. Ia sesuatu yang dinamik, bergantung kepada permintaan dan penawaran, faktor harga minyak dan  persekitaran luar yang kita tidak tahu.


“Banyak faktor yang menentukan harga barang. Cukai hanya komponen kecil, tetapi saya nak minta peniaga jangan ambil kesempatan terhadap pelaksanaan SST untuk naikkan harga,” katanya.


Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan SST, boleh hubung Pusat Kawalan Kastam di talian 1300888500.

 




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]