Barang Adidas tiruan dirampas

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Pelbagai barangan disyaki menggunakan jenama Adidas palsu yang dianggarkan bernilai RM16,200 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, semalam.


Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Zulfamy Mat Udi berkata, operasi melibatkan 11 pegawai penguatkuasa bersama wakil pemilik cap dagang Adidas itu dilakukan di beberapa premis menjual pakaian di sekitar bandaraya ini.


Hasil pemeriksaan menurutnya, sebanyak tiga premis didapati  ada menjual barang tiruan berjenama Adidas dan pihaknya merampas beberapa barangan seperti kasut dan topi.


“Kertas siasatan akan dibuka dan kita akan lakukan siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(2)© Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

Antara barangan yang dirampas.


Zulfamy berkata, sebanyak 27 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dengan nilai rampasan RM574,744 dan kompuan RM4,400 telah direkodkan KPDNHEP Terengganu sepanjang Januari hingga Julai  tahun ini.


Bagi tahun lalu, sebanyak 46 kes dengan nilai rampasan RM60,119 dicatatkan dan jumlah itu meningkat berbanding 44 kes dengan rampasan berjumlah RM467,294 pada tahun 2016.


Katanya, KPDNHEP Terengganu akan meneruskan operasi bagi mengesan kesalahan menjual barangan yang disyaki menggunakan perihal dagangan palsu dan memastikan peniaga mematuhi Perintah dan Peraturan-Peraturan serta Undang-Undang berkaitan perihal dagangan.


“Kita juga ingin memastikan peniaga menggunakan iklan yang betul dan tidak menipu pengguna selain penandaan harga betul serta tidak mengelirukan pengguna.


“Melalui operasi ini juga, kita dapat mengenalpasti pihak yang terlibat mengedar dan menjual barang tiruan, mengenalpasti pihak yang menjadi sasaran terhadap penjualan barang berjenama palsu dan memberi nasihat serta mengambil tindakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi undang-undang.


“Ini adalah usaha KPDNHEP dalam melindungi peniaga dan pengguna,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]