Barang dikecualikan SST masih di peringkat cadangan

in Nasional by


PUTRAJAYA – Senarai cadangan barang-barang dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dimuat naik oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia masih dalam peringkat cadangan.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia bertujuan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai sama ada perlu memasukkan atau menggugurkan mana-mana item daripada senarai barangan yang tersenerai untuk dikecualikan daripada SST.


Menurutnya, antara barang-barang yang tersenarai bagi pengecualian cukai tersebut adalah barangan mewah (big-ticket items) seperti kapal terbang, kapal mewah, feri penumpang, helikopter, kapal angkasa dan peralatan luncur salji.


“Sungguhpun senarai dikeluarkan kastam hanyalah cadangan, namun Kementerian Kewangan berpandangan adalah perlu bahawa barangan mahal yang juga mewah iaitu ‘big-ticket items’ haruslah dimasukkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Semalam, Guan Eng ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berkata, SST hanya akan merangkumi 38 peratus daripada kumpulan barangan Indeks Harga Pengguna (IHP) berbanding 60 peratus mengikut cukai barang dan perkhidmatan (GST).


Jelasnya, dengan melaksanakan SST yang telah ditambah baik kerajaan dapat ‘mengembalikan’ jumlah kutipan cukai kira-kira RM23 bilion kepada rakyat sekali gus mengurangkan  beban kewangan  khususnya mereka yang terkesan berikutan kos sara hidup tinggi.


[ARTIKEL BERKAITAN: Hanya 38 peratus kumpulan barangan IHP dikenakan SST]


Mengulas lanjut, Guan Eng sekali lagi menyatakan bahawa GST mungkin lebih telus dan efisyen kerana dikenakan ke atas lebih ramai pembayar cukai termasuk orang biasa sehingga berjaya mengutip RM44 bilion berbanding RM21 bilion menerusi SST.


“Maka lebihan RM23 bilion daripada GST ini membebankan rakyat sehingga kos sara hidup mereka terjejas. GST lebih efisyen dan telus apabila ia dikenakan ke atas 60 peratus daripada Bakul Barangan CPI berbanding dengan hanya 38 peratus daripada Bakul Barangan CPI oleh SST.


“Dengan penggantian GST kepada SST, maka RM23 bilion yang dikutip daripada GST akan dikembalikan kepada rakyat,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]