Di mana ibu bapa kandung Irdayu?

in Edisi by


KOTA TINGGI – Seorang wanita di Felda Air Tawar 5 di sini, memohon ibu kandung kepada anak angkatnya tampil bagi memudahkan urusan dokumentasi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Rahayu Hassan, 48, berkata, anak angkatnya, Irdayu Qaisara Abdullah, 5, diambil dari jagaan ibu kandungnya sejak lahir lagi.


Menurutnya, Irdayu Qaisara dilahirkan pada 2013 sebelum ibu kandungnya menyerahkan kepadanya kerana tidak dapat menjaganya atas sebab tertentu.


“Masa itu rakan maklum kepada saya ada seorang ibu baru melahirkan tidak mampu menjaga anaknya. Jadi saya pun ambil Irdayu dari ibunya yang dikenali dengan panggilan Siti untuk dijadikan anak angkat.


“Ibunya juga telah mengangkat sumpah untuk penyerahan sebagai anak angkat. Selepas itu kami terus tidak berhubung lagi. Saya pernah juga hubunginya, namun gagal,” katanya.


Rahayu berkata, dia meminta ibu kandung Irdayu hadir ke pejabat JKM Kota Tinggi untuk membantu urusan dokumentasi yang tertangguh.


Katanya, dia sudah menganggap Irdayu seperti anak sendiri dan menyayanginya sepenuh hati kerana telah menjaganya sejak bayi lagi.


“Kami mahu Irdayu membesar seperti kanak-kanak lain, boleh ke sekolah dan mengejar cita-citanya,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]