Halaqah Ilmu perkasa Pemuda Umno Kelantan

in Politik by


PASIR MAS – Pemuda Umno Kelantan akan menggunakan pendekatan Halaqah Ilmu dalam usaha memulihkan semula kekuatan parti itu selepas buat kali pertama gagal membentuk kerajaan di peringkat persekutuan sepanjang 61 tahun lalu.


Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, usaha itu selaras dengan pendekatan yang dicadangkan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.


“Melalui pendekatan Halaqah Ilmu itu, kami akan turun bertemu dengan pimpinan Pemuda bahagian dan cawangan serta akar umbi.


“Dalam pertemuan itu, kami pimpinan negeri akan mendapatkan seberapa banyak maklumat bagi memperkasakan semula Pemuda Umno dan parti selepas pilihan raya,” katanya.


Menurutnya, Halaqah Ilmu akan turut dijadikan sebagai platform untuk merekrut lebih ramai ahli dalam kalangan pemuda.


Katanya, hal ini kerana golongan muda menjadi penentu kepada parti mana yang akan mentadbir negara pada masa akan datang.


“Jadi kita perlu bermula sekarang untuk mendekati golongan muda dan mengambil hati mereka seandainya Umno mahu kembali mentadbir negara.


“Kami tekad menjadikan Pemuda Umno sebagai platform terbaik untuk membawa suara anak muda bagi didengari oleh kerajaan negeri mahupun persekutuan,” katanya.


Noor Hariri berkata, PRU14 lalu meninggalkan kesan yang mendalam buat pejuang Umno apabila parti keramat Melayu itu sudah tidak mentadbir negara.


Katanya, sebagai salah satu sayap parti, Pemuda akan terus bekerja keras untuk memulihkan parti.


“Kita sudah kenal pasti beberapa langkah awal yang akan diambil untuk memperkasakan semula Umno dalam kalangan orang muda,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]