Kerajaan, pembangkang masih kekok: Khaidhirah

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan dan pembangkang dilihat masih lagi kekok menjalankan tugas masing-masing selepas kedua-dua pihak itu bertukar posisi antara satu sama lain apabila BN kalah pada PRU14 lalu.


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Khaidhirah Abu Zahar berkata, pilihan raya umum sudah berlalu hampir tiga bulan dan kedua-dua pihak itu sepatutnya perlu memainkan peranan lebih baik.


Katanya, ia kerana rakyat pada hari ini menilai kepimpinan kedua-dua pihak dalam mengetengahkan agenda negara dan rakyat.


“Dalam beberapa hari pertama persidangan Dewan Rakyat, rakyat dihidangkan pelbagai isu dan kontroversi seperti pelantikan Speaker Dewan Rakyat, kelulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan perdebatan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)


“Rakyat memerhati serius apa yang berlaku di Dewan Rakyat terutama membabitkan cara kerajaan baru melaksanakan tugas, bagaimana BN bertindak sebagai pembangkang dan paling penting, proses perdebatan di kalangan ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Disebabkan itu, Khaidhirah berkata, Umno perlu menyesuaikan diri menjadi pembangkang yang berwibawa untuk direalisasikan demi rakyat.


“Saya tidak mahu mengambil kira bagaimana atau berapa lamakah kerajaan hari ini perlu mengambil masa untuk melatih diri agar menzahirkan kepimpinan sebagai sebuah parti kerajaan yang lebih baik di masa akan datang.


“Namun, kerajaan baru perlu buktikan mereka mampu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju dan berdaya saing,” katanya.


Dalam pada itu, beliau meminta ahli Dewan Rakyat dan Adun untuk menumpukan isu yang ingin dibahaskan.


“Rakyat bukan mahu melihat siapa yang mampu menghentam siapa di dalam dewan atau melihat parti politik mana yang paling bersih atau tidak mengamalkan politik korup.


“Tetapi rakyat mahu melihat hujah ahli dewan paling gemilang untuk memastikan taraf kehidupan dan pembangunan yang dirancang adalah seiring. Jangan hanya berlumba-lumba membina bangunan mencakar langit, sedangkan rakyat hidup bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]