Lebih 5,000 penyokong rai kejayaan JDT

in Sukan by


LEBIH 5,000 penyokong tegar Johor Darul Ta’zim (JDT) membanjiri Dataran Bandaraya, di sini malam ini bagi memeriahkan sambutan kejuaraan Liga Super lima tahun berturut-turut pasukan selatan tanah air tersebut.


Majlis bertambah gamat apabila pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiba bersama pemain dan barisan kejurulatihan di pekarangan dataran kira-kira jam 12 tengah malam menaiki bas dua tingkat yang direka khas untuk perarakan piala sejak lima tahun lalu.


Sebelum itu, pasukan dengan jolokan Harimau Selatan terlebih dahulu menambah kegembiraan penyokong mereka apabila melakar kemenangan 4-0 ke atas Kelantan dalam aksi Liga Super yang berlansung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.


Tinjauan Sinar Harian turut mendapati sambutan dilakukan sejak beberapa tahun itu turut dimeriahkan dengan karnival mini yang bermula seawal jam 2 petang merangkumi persembahan kebudayaan, gerai jualan barangan rasmi JDT dan cabutan bertuah.


Malah, penonton yang hadir di dataran turut diberikan peluang menyaksikan perlawanan JDT menentang Kelantan menerusi dua skrin gergasi.


Majlis sambutan berkenaan diselitkan dengan ucapan khas Tunku Ismail selaku pemilik kelab dengan acara kemuncak iaitu pertunjukan bunga api berirama.


Untuk rekod, skuad bimbingan Raul Longhi itu mengesahkan kejuaraan mereka selepas menundukkan Perak 2-1 di tempat lawan pada 10 Julai lepas ketika saingan masih berbaki empat perlawanan.


JDT turut melakar sejarah sebagai pasukan bola sepak pertama dalam Malaysia berjaya menggondol juara Liga Super buat lima tahun berturut-turut sejak 2014.


Lebih manis, kemenangan yang dilakar itu menjadi pembuka laluan buat skuad selatan tanah air tersebut sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang mara ke peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]