PRK Sungai Kandis: Zawawi nafi melobi jadi calon

in Politik by


SHAH ALAM – Calon PKR bagi PRK Sungai Kandis,  Mohd Zawawi Ahmad Mughni menafikan dakwaan kononnya beliau melobi supaya namanya dicalonkan untuk bertanding pada PRK itu, 4 Ogos ini.


Sebaliknya, beliau yang mesra dipanggil Ustaz Zawawi berkata pemilihan itu dibuat berdasarkan kepada sokongan akar umbi yang mahu dirinya bertanding dalam PRK tersebut.


“Saya tidak pernah melobi, bukan mudah untuk saya membuat keputusan ini berikutan mempunyai tanggungjawab dan komitmen termasuk sebagai pengetua sebuah maahad tahfiz di sini.


“…tetapi disebabkan atas beberapa kepentingan parti akhirnya saya bersetuju untuk menerima pencalonan ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.


Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Pusat itu berkata  demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak bahawa beliau melobi barisan pucuk pimpinan parti supaya dipilih sebagai calon pada PRK tersebut.


[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai Kandis : PH pilih Mohd Zawawi]


Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata beliau yakin dapat mempertahankan kerusi tersebut berikutan  sokongan yang diterima bukan sahaja daripada parti, malahan daripada penduduk tempatan di Dun berkenaan.


“Saya yakin dapat kekalkan kemenangan YB (Yang Berhormat) Mat Shuhaimi Shafiei dengan penerimaan semua pihak termasuk parti yang menerima saya sebagai calon.


“Saya bertekad sekiranya menang, saya akan menyelesaikan beberapa isu pokok termasuk masalah longkang tersumbat, jalan rosak dan banjir yang sering melanda beberapa kawasan penempatan penduduk di sini,” katanya.


Malam tadi, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pemilihan Mohd Zawawi sebagai calon, ketika majlis pelancaran jentera PKR di sini.


Wan Azizah berkata pemilihan pengetua Tahfiz Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun itu diharap akan dapat mengekalkan kemenangan PKR di Dun tersebut.


PRK berkenaan diadakan berikutan kematian Mat Shuhaimi pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]