Suspek pecah rumah ditahan

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Seorang pemandu lori ditahan selepas dipercayai telibat dengan kejadian pecah rumah yang berlaku di Taman Sentul Indah, di sini 26 Jun lalu.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil siasatan dan risikan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) berjaya mengesan suspek di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan yang sama pada Selasa lalu.


Nik Ros Azhan berkata, sebelum ini pihaknya menerima laporan daripada seorang kerani yang mengadu rumahnya dipecah masuk sehingga menyebabkan kerugian hampir RM10,000.


“Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa yang baru pulang ke rumahnya mendapati cermin tingkap di bahagian hadapan telah terbuka dan besi penghadang telah dirosakkan.


“Mangsa yang membuat pemeriksaan di dalam mendapati keadaan rumahnya berselerak dan diselongkar.


Pemeriksaan lanjut yang dibuat mendapati pelbagai barangan berharga miliknya hilang dipercayai dilarikan pencuri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Antara barangan yang hilang seperti televisyen Sony 50 inci, pemain DVD, set komputer, peralatan kamera litar tertutup, loket emas dan enam botol wain.


Nik Ros Azhan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan penglibatan suspek dalam kejadian pecah rumah berkenaan.


Katanya, suspek kini direman untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]