Akta Perkhidmatan Parlimen dihidupkan semula

in Nasional by


IPOH – Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1992 akan dihidupkan semula bagi membolehkan Parlimen mempunyai autonomi sendiri dalam memainkan peranan semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif.


Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, langkah memperkenalkan semula akta terbabit antara pembaharuan yang akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini bagi memastikan institusi itu benar-benar mencerminkan doktrin pengasingan kuasa.


“Perbincangan bagaimana untuk perkenalkan semula akta ini telahpun dibuat, saya rasa ini adalah masa yang tepat untuk kita melihat satu sistem berparlimen yang baru dan berada di kelasnya tersendiri.


“Kami dibawah kepimpinan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sangat komited untuk laksanakan penambahbaikan bukan sahaja di Dewan Rakyat tetapi juga Dewan Negara untuk kebaikan rakyat kerana ini juga adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Pusat Khidmat Dun Kepayang, hari ini.


Akta Perkhidmatan Parlimen 1962 telah digunakan sejak  Mac 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.


Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, keputusan meletakkan sembilan agensi kerajaan antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Audit Negara sebagai badan bebas bakal menjadikan urus tadbir dijalankan dengan lebih integriti dan cekap.


Katanya, pembaharuan yang dibawa itu juga akan menjadikan setiap anggota Dewan Rakyat memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab.


“Setiap perkataan dituturkan cerminkan watak dan tingkahlaku sebagai wakil rakyat, memandangkan mereka ini bergelar Yang Berhormat,  kita mahu lihat mereka disanjungi dan dihormati rakyat,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]