Besut catat kes denggi tertinggi

in Edisi Terengganu by


KUALA BESUT – Orang ramai di daerah ini khususnya di beberapa kawasan wabak denggi diminta menjaga kebersihan persekitaran kawasan komuniti masing-masing bagi mengelak penyakit berjangkit terutama demam denggi terus merebak.


Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar  berkata, masyarakat perlu sedar terhadap kepentingan membersih persekitaran termasuk memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes terutama membabitkan tempat air bertakung.


Menurutnya, seorang wanita berusia 62 tahun dari Kampung Tok Saboh, di sini meninggal dunia pada 15 Julai lalu disyaki akibat demam denggi manakala 11 orang lagi termasuk kanak-kanak berusia lima tahun kini dirawat di Hospital Daerah Besut.


“Besut mencatat kes demam denggi paling tinggi berbanding daerah lain di Terengganu sejak awal tahun ini, katanya,


Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan wabak dan rumah wanita yang disyaki mangsa denggi di Kampung Tok Saboh.


Namun katanya,  bagi keseluruhan kes di negeri ini, jumlah denggi di negeri ini masih terkawal dan didapati semakin menurun iaitu 125 kes sehingga kelmarin tahun ini berbanding 184 bagi tempoh yang sama tahun lepas.


“Jabatan Kesihatan Terengganu telah melakukan pemeriksaan di 96,489 premis dan daripada jumlah itu 1,151 premis didapati positif pembiakan nyamuk  Aedes dan telah dikenakan kompaun selain mengeluarkan 422 notis arahan pembersihan premis.


“Usaha ini dilakukan dalam usaha mengekang kes denggi merebak namun kerjasama komuniti amat penting,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]