CCM Duopharma terima penghormatan berganda

in Bisnes by


CCM Duopharma Biotech Berhad (CCM Duopharma) menerima anugerah ‘Syarikat Farmaseutikal Terbaik (Produk Generik)’ dan ‘Syarikat Farmaseutikal Halal Terbaik’ di Anugerah Kecemerlangan Frost & Sullivan Malaysia 2018, baru-baru ini.


Pencapaian terbaharu CCM Duopharma menandakan kejayaan kali ketiga Syarikat menerima anugerah ‘Syarikat Farmaseutikal Terbaik (Produk Generik)’ dan kali kedua menerima ‘Syarikat Farmaseutikal Halal Terbaik’ pada anugerah tersebut.


Pengarah Urusan Kumpulan CCM Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pihaknya berbesar hati menerima pengiktirafan berprestij itu dan mendedikasikan anugerah berkenaan kepada kakitangan CCM Duopharma yang telah bekerja keras untuk mencapai kejayaan ini.


“Pengiktirafan ini telah mengukuhkan komitmen kami untuk terus membekalkan produk farmaseutikal berkualiti bagi memenuhi dan mengatasi jangkaan pelanggan,” katanya.


Tambahnya, pengguna hari ini memanfaatkan capaian maklumat yang tidak terbatas, sekali gus menjadikan mereka lebih pemilih dan arif dalam soal kesihatan.


“Pengguna kini lebih maklum dan telah memperkasakan diri mereka supaya lebih mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan keseluruhan. Justeru, kami perlu bertindak lebih tangkas dan sentiasa memberi tumpuan kepada inovasi untuk meningkatkan kepuasan pengguna.


“Pemberian dua anugerah penuh berprestij ini membuktikan kegigihan CCM Duopharma untuk mencapai matlamat membantu pengguna menikmati kehidupan lebih sihat dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi produk farmaseutikal Halal,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]