Gajah serang kebun sawit

in Edisi Terengganu by


KEMAMAN – Angkara serangan sekumpulan gajah liar, dua pemilik kebun kelapa sawit di Kampung Air Putih, di sini, kerugian kira-kira RM30,000 selepas hampir 200 pokok kelapa sawit mereka di atas tanah seluas 12.5 hektar musnah dalam kejadian pagi semalam.


Mangsa, Mokhtar Junoh, 63, terkejut apabila mendapati banyak pokok sawitnya musnah setibanya di kebunnya kira-kira jam 9 pagi selepas seorang penoreh getah datang ke rumahnya dan memaklumkan bahawa kebunnya itu diserang gajah.


Mokhtar berkata, sejurus dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh penoreh getah tersebut yang bekerja di kebun getah bersebelahan kebun sawitnya, dia segera bergegas ke lokasi kejadian.


“Tergamam pakcik bila tengok banyak pokok musnah, pokok bukan saja hilang umbut, lenyek tapi ada juga yang tercabut akar terus.


“Lebih sedih, banyak pokok yang musnah itu umurnya dah capai lima tahun iaitu sudah keluarkan buah dan hanya menunggu masa untuk dituai hasil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Ekoran kejadian itu, sebanyak 40 batang pokok sawitnya yang berusia lima tahun dan 20 batang anak sawit musnah menyebabkannya terpaksa berputih mata menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM10,000.


Mokhtar berkata, sebagai pekebun kecil yang hanya mempunyai kebun berkeluasan 2.4 hektar, kejadian serangan gajah liar itu sangat membebankannya lebih-lebih lagi masalah serangan gajah liar di kawasan itu sudah berlarutan sejak lima tahun lalu lagi.


Menurutnya, keadaan itu bertambah teruk sejak awal tahun ini apabila hampir setiap bulan kebunnya dan kebun sawit beberapa lagi pekebun kecil lain dimasuki kumpulan gajah liar berkenaan.


Katanya, berdasarkan kesan tapak kaki, dipercayai kumpulan gajah yang menceroboh dan memusnahkan kebun sawit itu berjumlah empat ekor dan kumpulan gajah berkenaan dipercayai datang dari hutan simpan Air Putih yang bersebelahan dengan kebun mereka.


Tambah Mokhtar, ekoran serangan gajah yang berlarutan itu, dia bersama pekebun lain pernah melaporkan kejadian itu kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Mac lalu.


Berikutan serangan yang bertambah teruk itu, dia berharap Perhilitan dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan keadaan semakin buruk.


“Pakcik dah banyak tanggung rugi dan apa yang lebih menakutkan, pakcik juga bimbang nyawa terancam jika kebetulan masuk ke kebun, gajah masih ada. Sekarang pakcik agak takut nak masuk kebun untuk kait buah. Pakcik tak pakai pekerja, pakcik kutip buah sendiri,” katanya.


Sementara itu, seorang lagi mangsa, Rosli Abdullah, 37, menanggung kerugian lebih besar iaitu dianggarkan kira-kira RM20,000 apabila sebanyak kira-kira 130 batang pokok kelapa sawitnya musnah.


Rosli berkata, daripada jumlah pokok yang musnah itu, sebanyak 100 batang adalah anak pokok manakala bakinya pokok yang sudah berumur lima tahun.


Katanya yang mengupah tiga pekerja, berdasarkan maklumat yang diberikan pekerjanya, kumpulan gajah itu dipercayai masuk ke kebunnya pada waktu malam iaitu sekitar jam 10 malam sebelum kemusnahan disedari pada sebelah paginya.


“Bila saya sampai ke kebun pagi ini (semalam), didapati kesan najis dan air kencing gajah masih baharu bermakna gajah-gajah liar itu baharu sahaja masuk dan banyak juga kesan tapak kaki gajah dapat dilihat.


“Aduan demi aduan tentang masalah ini kami dah buat sudah lama dan kami harap tindakan segera termasuk memindahkan gajah liar yang sering menceroboh ke kebun kami dapat dilakukan segera,” katanya yang memiliki kebun sawit seluas 10.1 hektar yang bersebelahan kebun Mokhtar.


Tambahnya, pada masa sama dia juga turut risaukan keselamatan tiga pekerjanya yang melakukan kerja pembersihan dan mengutip buah sawit jika masalah berkenaan terus berlarutan.


Dalam pada itu, Adun Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada pekebun kecil terjejas berhubung kejadian itu.


“Pihak kami juga akan berhubung dengan pihakĀ  Perhilitan Terengganu untuk mencari jalan penyelesaian berhubung masalah ini setelah laporan penuh kami terima,” katanya ketika dihubungi.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]