Golongan muda diseru lanjut pengajian di ILP

in Nasional by


NILAI – Golongan muda diseru melanjutkan pengajian di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dalam usaha meningkatkan sumber manusia profesional dalam bidang kemahiran dan teknikal di negara ini.


Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, dalam usaha menggalakkan kemasukan golongan belia ke institusi berkenaan, pihaknya juga akan menjalinkan kerjasama dengan negara-negara maju bagi membolehkan pelajar lepasan ILP melanjutkan pengajian di negara terbabit.


“Saya buat lawatan ke ILP seluruh negara dan saya dapati penyertaan golongan muda di institusi ini masih kurang, kalau ada 100 tempat di satu-satu ILP, hanya 60 tempat diisi sedangkan kursus ditawarkan bukan calang-calang antaranya bidang Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, kimpalan serta percetakan.


“Jadi dalam usaha menaikkan standard ILP dan mengubah mentaliti masyarakat terhadap institusi yang menawarkan bidang kemahiran dan teknikal seperti ILP, kita perlu jalinkan kerjasama dengan negara-negara maju seperti Perancis, Jerman, New Zealand, Australia dan Jepun,” katanya pada majlis Persidangan Saiva Sedunia keempat, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Kula Segaran  berkata apabila golongan muda itu dilatih dalam bidang kemahiran dan teknikal secara profesional, ia sekali gus dapat meningkatkan teknologi dalam negara termasuk mewujudkan banyak peluang pekerjaan.


“Pelajar-pelajar ini boleh belajar sambil bekerja apabila adanya kerjasama dengan negara-negara maju sekali gus dapat meningkatan pendapatan mereka.


“Maka saya mempelawa anak-anak muda kita dan ibu bapa beri perhatian dan galakkan supaya anak-anak mereka terlibat dalam latihan kemahiran,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]