'Ikutkan hati memang nak tanding'

in Politik by


SHAH ALAM – Seorang calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) menarik diri daripada bertanding PRK Dun Sungai Kandis, di sini, hari ini.


Ahmad Kamarudin, 42, berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi memberikan laluan antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).


Menurutnya, dia hadir ke pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 pukul 9.30 pagi.


“Namun sewaktu hendak mendaftarkan diri pukul 9.45 pagi, saya menerima panggilan daripada jawatankuasa tertinggi PRM agar menarik diri.


“Saya menerima keputusan itu dengan reda. Ikutkan saya memang nak bertanding. Saya pun nak jadi YB. Duit pun dah bawa.


“Tapi saya akur dengan arahan pucuk pimpinan supaya ada pertarungan sengit antara BN sebagai pembangkang kini dengan PKR,” katanya ketika ditemui di perkarangan Dewan Besar Tanjung di sini, hari ini.


Ahmad yang merupakan seorang peniaga menambah ini bukan kali pertama dia mendaftarkan diri sebagai calon dalam pilihan raya.


Jelasnya, pada PRU14 lalu, dia bertanding di Dun Bukit Antarabangsa menentang penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Susulan penarikan dirinya, SPR pagi tadi hanya mengumumkan tiga calon bertanding bagi PRK Dun Sungai Kandis iaitu calon mewakili PH, BN dan seorang calon Bebas.


 

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]