Jakarta tutup sungai kotor, busuk

in Global by


JAKARTA – INDONESIA. Sebatang sungai yang kotor dan berbau busuk berhampiran perkampungan atlet Sukan Asia di Jakarta ditutup dengan jaring nilon hitam atas kebimbangan ia mencacatkan pemandangan temasya sukan itu.


Pegawai di ibu kota Indonesia kini melakukan persiapan terakhir termasuk mempersiapkan tempat pertandingan dan memperluaskan jalan raya untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang teruk sebelum acara itu yang berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.


Pihak berkuasa juga memutuskan untuk menyembunyikan sungai Sentiong, sepanjang kira-kira 730 meter yang digelar “Sungai Hitam” oleh penduduk setempat kerana keadaannya yang kotor, menurut jurucakap sumber air Jakarta, Nelson Simanjuntak.


Pihak berkuasa Jakarta berharap jaring hitam yang digunakan akan mengurangkan bau busuk yang datang dari sungai berkenaan, yang sebahagiannya berpunca daripada panas terik matahari.


Pada masa yang sama, teknologi pengurusan sisa canggih “gelembung nano” digunakan untuk membantu memecahkan bahan organik dan bahan kimia.


Pelbagai bendera berwarna-warni juga dipasang, sementara pekerja mengecat tembok penahan sungai menggunakan warna terang.


Laluan-laluan air yang tersumbat dengan sampah-sarap adalah penyumbang utama kepada masalah banjir di Jakarta semasa musim hujan.


Jakarta dan Palembang di Sumatera menjadi tuan rumah kepada 11,000 atlet dan 5,000 pegawai dari 45 buah negara sempena acara


sukan kedua terbesar selepas Olimpik itu. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]