'Kapten kata tidak perlu pakai jaket keselamatan'

in Global by


MISSOURI – AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita dari Indiana yang kehilangan 9 anggota keluarga termasuk suami dan anak dalam tragedi ‘bot itik’ karam di Missouri berkata kapten bot berkenaan memberitahu penumpang untuk tidak memakai jaket keselamatan.


Tia Coleman memberitahu stesen televisyen Indianapolis, daripada semua 11 anggota keluarganya, hanya beliau dan anak saudaranya yang terselamat dalam tragedi itu.


Ketika kejadian Khamis lalu, keluarga itu dikatakan menaiki kenderaan amfibia berkenaan sebelum ia dipukul ribut dan tenggelam di tasik Table Lake berhampiran Branson, Missouri mengorbankan 17 daripada 31 penumpangnya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Nahas ‘bot itik’ ragut 17 nyawa di Missouri]


“Saya kehilangan anak-anak saya, suami, ibu mentua, bapa mentua, bapa saudara, kakak ipar dan anak saudara lelaki. Ia cukup berat,” kata Coleman kepada Fox 59.


Coleman berkata, mendiang suaminya pasti mahu dunia tahu ketika mereka berada di tasik, kapten bot berkenaan memberitahu penumpang untuk tidak memakai jaket keselamatan kerana mereka tidak memerlukannya.


“Bila situasi memerlukan kami memakai jaket keselamatan, ia sudah terlambat,” kata Coleman.


Kapten bot berkenaan adalah antara 14 yang terselamat, tujuh daripadanya parah. – Reuters/SBS News


Source: SH Global

[featured-video-plus]