Kementerian perlu beri keutamaan tingkat sistem pembelajaran

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Kementerian Pendidikan perlu memberi keutamaan kepada usaha mempertingkatkan sistem pembelajaran negara dan bukannya mengubah jenis kasut sekolah atau seragam yang dipakai murid.


Sambil melabelkan arahan menukar kasut sekolah kepada warna hitam sebagai ‘tidak begitu penting’, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin berkata, terdapat banyak isu membabitkan sistem pendidikan negara yang perlu diberi keutamaan oleh pihak kementerian.


Menurutnya, ramai ibu-bapa yang beranggapan bahawa sistem pendidikan sedia ada sudah tidak lagi sesuai dengan peredaran zaman dan sudah tiba masanya ia dipertingkatkan.


“Tidak salah kalau kementerian hendak menukar warna kasut sekolah atau jenis seragam murid. Tetapi ini bukanlah suatu yang penting yang perlu dilaksanakan dengan segera.


“Banyak kepincangan dalam sistem pendidikan negara kini yang lebih penting untuk diutamakan,” katanya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, yang mengumumkan bahawa kasut sekolah akan ditukar kepada yang berwarna hitam mulai tahun depan.


Menurut Chee Kin, sekiranya kementerian masih ingin meneruskan cadangan berkenaan, maka ia perlu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat supaya tidak membebankan ibu bapa yang kurang berkemampuan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]