PH tak boleh rasa selesa: MB

in Politik by


SHAH ALAM – Sentimen rakyat yang dilihat positif dalam memberi sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) disifatkan bukan tiket untuk gabungan itu berasa selesa untuk mengekalkan mandat di Dun Sungai Kandis.


Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, PH perlu bersedia untuk berdepan pelbagai kemungkinan perubahan mood rakyat dalam tempoh dua minggu berkempen.


“Melihat sentimen rakyat masih memihak dengan kita, tetapi bukan bermakna boleh selesa. Kerana dalam tempoh dua minggu berkempen, banyak isu yang akan ditimbulkan dan banyak perkara yang akan di manipulasi.


“Jadi pihak petugas parti harus bersedia menjawab dan menerangkan pelbagai isu yang akan berbangkit,” katanya ditemui di pusat penamaan calon PRK Dun Sungai Kandis, di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, di sini, hari ini.


Tambah Amirudin lagi, tempoh PRK yang begitu singkat selepas berakhirnya PRU14, dibimbangi menjejaskan peratusan pengundi.


“Kita ada kemenangan dengan 12,000 mejoriti sebelum ini. PH akan cuba dapatkan majoriti sama atau lebih namun bergantung kepada peratusan pengundi. Umum tahu kita baru dua bulan PRU, mungkin sedikit sebanyak memberi kesan kepada kadar yang turun mengundi,” katanya.


Dalam pada itu, ujar beliau, PRK kali ini tentunya memberikan suasana yang berbeza kepada PH sebagai kerajaan pusat namun pendekatan yang bakal dibawakan tidak akan lari daripada kebiasaan.


“Harap sepanjang kempen ini kita dapat berkempen dengan baik tidak timbul sebarang masalah dan isu yang mencalarkan imej kedua-dua pihak terutamanya isu seperti pergaduhan dan sebagainya yang juga mencalarkan imej negara,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menolak dakwaan PH akan kehilangan sokongan rakyat pada PRK kali ini kerana kegagalan PH menunaikan janji PRU.


“Saya menolak tanggapan sebab proses telah pun bermula. Lapan daripada sepuluh manifesto telah dibuat dan dua lagi dalam proses.


“Dengan pengurangan atau penghapusan GST. Dengan penghapusan GST ini hasil negara tentunya berkurangan tetapi kita boleh imbangkan dengan penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan dan projek mega akan terus disemak semula supaya pembaziran, ketirisan dan rasuah dapat dihentikan.


Namun tegasnya, apa yang ingin dilakukan ini bukan hanya mengambil masa sehari dua sahaja.


“Apabila kerajaan merupakan kerajaan efisien dan efektif, kos dalam perniagaan juga akan berkurangan dan ini dapat mengurangkan bebanan sara hidup rakyat secara langsung. Kesannya mengambil sedikit masa untuk memberikan pengurangan tekanan sara hidup kepada rakyat,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]