Thailand kecewa media asing ganggu 'budak gua'

in Global by


BANGKOK – THAILAND. Pihak berkuasa Thailand kecewa dengan sikap beberapa media asing yang menentang nasihat pakar psikiatri dan pegawai kebajikan kanak-kanak supaya tidak menemu bual anggota pasukan Wild Boars selepas mereka dibenarkan keluar dari hospital.


Pakar psikiatri sebelum ini memberi amaran kemungkinan masalah jangka panjang yang mungkin dialami kesemua 12 remaja terbabit, selepas lebih dua minggu terperangkap dalam ruang sempit dan banjir di gua Thamg Luang di utara Thailand.


Timbalan Setiausaha Tetap Keadilan, Thawatchai Thaikhieu berkata, soalan yang diajukan media asing mungkin memberi impak negatif dalam proses pemulihan selain berpotensi mencetuskan gangguan tekanan selepas trauma ke atas mangsa.


Thawatchai berkata demikian bagi mengulas tindakan Australian Broadcasting Corporation (ABC) menyiarkan temu bual eksklusif salah seorang daripada ‘budak gua’ terbabit malam tadi.


Malah, Thawatchai turut berang selepas mengetahui beberapa lagi media asing telah menemu bual anggota Wild Boars yang lain selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.


“Ia (temu bual) sepatutnya tidak berlaku. Kami bimbang soalan-soalan yang diajukan boleh mencetuskan rasa takut dan mengganggu emosi mereka.


“Kami tidak mahu timbul masalah psikologi ke atas semua ‘budak gua’ terbabit pada masa hadapan,” ujar Thawatchai.


Tambah Thawatchai lagi, media asing tidak profesional ketika menjalankan tugasan mereka kerana lebih mementingkan rating berbanding keselamatan emosi kesemua mangsa gua Tham Luang.


“Kami benar-benar kecewa dan perbuatan mereka tidak boleh dimaafkan. Media asing bertindak tidak rasional dan tidak bertanggungjawab, walaupun Thailand telah meletakkan sistem untuk melindungi kumpulan kanak-kanak ini,” katanya.   


Temu bual yang disiarkan semalam mencetuskan kemarahan penduduk Thailand dan menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap media asing yang mengabaikan arahan supaya tidak mendekati kesemua remaja terbabit.


Kesemua 12 kanak-kanak berusia antara 11 hingga 16 tahun bersama seorang jurulatih mereka memasuki gua Tham Luang pada 23 Jun lalu, bagi meraikan ulang tahun kelahiran salah seorang ahlinya, tetapi malangnya mereka terpe­rangkap di dalam gua yang ditenggelami banjir.


Mereka terperangkap selama 18 hari dan usaha menyelamatkan mereka turut mendapat liputan media antarabangsa.


Malah, sebuah syarikat produksi filem Hollywood bersedia untuk mengangkat kisah mereka ke layar perak.


Semasa usaha untuk mengeluarkan mereka dirancang, seorang bekas penyelam SEAL Tentera Laut Diraja Thailand, Saman Kunan menemui ajal ketika menjalankan tugas menambah oksigen ke dalam tangki di Chamber 3 gua yang dilanda banjir itu.  


Semua anggota Wild Boars berjaya dikeluarkan pada 3 Julai lalu dalam misi menyelamat dramatik yang memakan masa selama tiga hari.


Mereka dirawat selama seminggu di Hospital Chiang Rai selama seminggu, sebelum dibenar keluar pada Khamis lalu. – Bangkok Post


Source: SH Global

[featured-video-plus]