Agar ibadah lebih sempurna

in Uncategorized by


IPOH – Demi mengejar ibadah yang lebih sempurna, dua warga emas yang juga pelajar Pondok Al Barakah bersetuju untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri, meskipun baru pertama kali bertemu, Mac lalu.


Hussain Abdul Rahman, 84, bekas Penyelia Sekolah-sekolah Agama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Kamsiah Adam , 66, ibu kepada tiga cahaya mata selamat dinikahkan di Pusat Pendidikan Al Barakah sekitar jam 11 pagi, hari ini.


Kedua-dua mereka bertemu ketika masing-masing mengikuti kelas dewasa di pondok berkenaan, sebelum diperkenalkan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah yang juga pendakwah bebas terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias.


Ini perkahwinan ketiga bagi Hussain yang berasal dari Pontian, Johor dan memiliki tujuh anak, 17 cucu serta seorang cicit, sementara Kamsiah dari Taiping perkahwinan kedua selepas kematian suaminya, lebih 35 tahun lalu.


Hussain berkata, perkahwinan yang dibina ini tidak lain untuk menambah ketenangan dalam beribadah.


“Dengan adanya seorang isteri di sisi, dia akan menemankan saya dan menjadikan urusan ibadah lebih sempurna, mudah-mudahan dengan doa semua, ALLAH makbulkan niat kami untuk mencari ketenangan dalam ibadah,” katanya.


Beliau yang pernah menyambung pengajian di Mekah selama lapan tahun, mengambil keputusan untuk menjadi penghuni Pondok Al Barakah sekitar Mac lalu.


 “Anak-anak memang nak saya tinggal bersama mereka, tapi saya tak mahu sebab nanti asyik makan dan tidur sahaja, kalau di pondok ni, tiap-tiap hari ada kelas dan ceramah, boleh saya tambah ilmu dan amal ibadat.


“Buat masa ini, saya dan isteri akan terus menetap di pondok dan jika panjang umur, saya juga nak praktikkan bahasa Arab yang saya belajar dulu di sini,” katanya.


Keduanya dinikahkan oleh adik pengantin perempuan, Hamzah Adam.


Bagi Kamsiah pula, hanya perasaan gembira dan syukur dapat diluahkan dengan perkahwinan baru itu, apatah lagi mendapat restu ahli keluarga termasuk anak-anaknya.


“Kerana Allah kami jumpa di sini, susah saya menolak jodoh ini kerana saya melihat Haji (panggilan suami) seorang yang beriman dan boleh membawa saya menjalani ibadah yang lebih sempurna,” katanya.


Dia yang menjadi penghuni Pondok Al Barakah sejak tiga tahun lalu berkata, faktor lain yang menyebabkannya setuju berkahwin adalah untuk membantu memulihkan sakit lutut dialami Hussain.


“Kebetulan saya ada kepakaran sedikit dalam bidang fisioterapi, lihat Haji jalan agak susah sebab sakit lutut, saya jatuh kasihan, lepas ni boleh la saya tolong jaga dia dan urut kaki supaya Haji lebih selesa beribadah,” katanya.


Sementara itu, Mohd Kazim berkata, perkahwinan yang berlangsung semalam mencatat rekod tersendiri kerana Hussain pelajar paling senior di pusat pendidikan terbabit.


Katanya, sejak mula ditubuhkan, tidak kurang enam pasangan sesama pelajar dewasa bertemu jodoh ketika mengikuti kelas pengajian di situ.


“Inilah dinamakan jodoh, tak sampai setahun Haji di sini, beliau dipertemukan dengan pasangannya, selalunya pengurusan Al Barakah akan menaja kenduri seperti ini, tapi mungkin keadaan sekarang kami kekangan dana, jadi ahli keluarga kedua-dua pengantin bersetuju membiayai sendiri kenduri mereka,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]