Bersatu, PKR dan Amanah juga adik beradik Umno: Annuar

in Nasional by


PETALING JAYA – Umno bukan hanya dua beradik dengan Pas tapi Umno juga adik beradik dengan Bersatu, PKR dan Amanah.


Itu yang ditegaskan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa apabila beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang mengatakan Umno dan Pas seperti dua beradik.


Memetik laporan FMT, Annuar menyatakan ia adalah satu perkara yang baik serta mengakui bahawa Pas dan partinya berasal dari dasar dan parti yang sama.


“Betul. Saya setuju cumanya saya nak kata Umno bukan sahaja dua beradik dengan Pas, tetapi kita ada lima beradik. Ini termasuk Bersatu, PKR dan Amanah.


“Semuanya berasal dari Umno. Kalau Dr Mahathir kata dua beradik kita sebenarnya ada lima beradik. Tak ada masalah,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Pas, Umno macam adik beradik: Tun M]


Semalam Dr Mahathir berkata beliau tidak pelik dengan langkah Pas memberikan laluan kepada Umno untuk bertanding satu lawan satu dengan PH di Dun Sungai Kandis.


“Mereka memang dua beradik,” katanya ringkas ketika diminta mengulas langah Pas tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil 4 Ogos ini.


PRK Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Bebas.


Pengesahan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Dun N49 Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, semalam.


[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga penjuru di PRK Sungai Kandis]


[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai Kandis: Pas sah tak bertanding]


Calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menentang calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy.


PRK Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandang, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.


Annuar menambah, dalam politik sesebuah parti bukan sahaja boleh berbeza pendapat dengan parti yang lain, tetapi jika ada ruang ia juga boleh menjalinkan kerjasama dengan parti lain itu, dan beliau tidak menolak kemungkinan tersebut.


Kemungkinan itu katanya, termasuklah kerjasama bukan sahaja dengan Pas, tetapi juga dengan PKR, Bersatu dan Amanah.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]