Diserang guna gergaji: Lelaki tuntut keadilan

in Edisi by


JOHOR BAHRU – Menerima 24 jahitan serta hampir hilang keupayaan untuk menggunakan ibu jari tangan kiri antara penderitaan yang dialami seorang lelaki dari Ulu Tiram, di sini, selepas dia diserang seorang lelaki dalam satu kejadian di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), 31 Mei lalu.


Mangsa, Lai Kok Thon, 22, berkata, sebelum terbabit kejadian itu, dia terlebih dahulu menemui lelaki yang menyerangnya di Kompleks Kastam Singapura.


Menurutnya, kemudian berlaku perbalahan antara kedua mereka kerana mangsa bertindak memotong laluan lelaki tersebut ketika sedang beratur untuk keluar daripada sekatan pihak berkuasa negara jiran itu.


“Kejadian ketika itu berlaku dalam jam 4.30 petang, semasa saya tiba di BSI, saya kemudiannya mahu menemui lelaki itu untuk berbincang dengannya kerana ketika di Kompleks Kastam Singapura dia telah melanggar belakang motosikal saya.


“Sebaik saja saya berjumpa dengannya telah berlaku pertengkaran mulut antara kami.


“Tiba-tiba lelaki itu terus mengeluarkan satu gergaji dan cuba memukul saya dengan senjata tersebut. Disebabkan panik, saya bertindak menumbuk lelaki berkenaan di bahagian muka.


“Lelaki tersebut yang marah terus membalas semula dengan memukul saya menggunakan gergaji beberapa kali dan terus melarikan diri menaiki motosikalnya,” katanya selepas membuat aduan di Pejabat Ketua Biro Penyelarasan Hal Ehwal MCA, Michael Tay Chee Boon, di sini, semalam.


Kok Thon berkata, akibat pergelutan itu, dia cedera parah di tangan kiri dan tidak mampu berbuat apa-apa sehingga dihantar ke hospital oleh orang awam yang berada berhampiran kawasan tersebut.


“Saya kemudiannya menjalani rawatan di Hospital Pakar Kempas, dan terpaksa menjalani pembedahan untuk menyelamatkan tangan kiri saya kerana ada kecederaan dalaman di bahagian urat. Saya juga menerima 24 jahitan malah ibu jari saya juga tidak dapat berfungsi sepenuhnya.


“Yang lebih merunsingkan saya adalah bayaran perubatan terpaksa ditanggung kerana kecederaan ini iaitu bernilai lebih RM20,000. Memang sudah dibayar melalui polisi insurans yang saya miliki tetapi tidak adil kerana pelakunya itu lepas tangan atas apa dia sudah lakukan,” katanya.


Mengulas mengenai perkara itu, lelaki yang bekerja sebagai staf sokongan syarikat pembuatan minuman ringan di Singapura itu memohon lelaki terbabit untuk bersemuka dengannya dan membayar semula kerugian perubatan yang ditanggungnya.


“Selepas ini saya perlu menjalani satu lagi pembedahan kerana mahu memulihkan semula ibu jari saya. Saya mahu perkara ini diselesaikan dan cukup sekadar lelaki itu bersemuka meminta maaf dan membayar semula kos perubatan yang saya tanggung,” katanya.


Sementara itu, Michael Tay berkata, pihaknya akan bersama-sama membantu lelaki terbabit mendapatkan pengadilan yang secukupnya dengan merujuk kepada pihak polis dan pihak yang berkenaan.


“Saya telah merujuk kepada pelbagai pihak untuk mengetahui saluran yang boleh digunakan oleh mangsa untuk menyelesaikan masalah ini.


“Melalui rujukan yang saya lakukan dengan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan juga, perkara ini sudah dilakukan siasatan dan pihak polis akan membawa dua saksi yang dikenal pasti untuk membantu mengetahui punca sebenar kejadian berlaku,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]