Dua wanita ditahan miliki pelbagai jenis dadah

in Edisi by


PASIR PUTEH – Dua wanita yang ditahan dalam serbuan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh Khamis lalu didapati memiliki beberapa jenis dadah.


Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rozak Muhamad berkata, kedua-dua suspek iaitu wanita tempatan berusia 36 tahun dan wanita warga Thailand berusia 33 tahun ditahan di rumah tidak bernombor di Kampung Dalam Kemunting.


Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, suspek enggan membuka pintu rumah tetapi polis berjaya memasuki rumah terbabit dengan memecahkan pintu.


“Suspek melarikan diri ke bahagian dapur tetapi berjaya ditahan, hasil pemeriksaan kita menemui bahan dipercayai dadah di lantai rumah berkenaan,” katanya dalam sidang media di IPD Pasir Puteh, hari ini.


Abd Rozak berkata, hasil pemeriksaan polis menemui empat botol cerah berisi serbuk putih seberat 18 gram, satu plastik berisi 32 pil kemerahan seberat 3.2 gram, lima plastik berisi ketulan kristal seberat 1.8 gram, dua tiub berisi serbuk putih seberat 0.8 gram dan satu foil aluminium berisi satu pil seberat 0.3 gram.


Katanya, kedua-dua suspek bersama bahan disyaki dadah itu dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


“Kedua-dua suspek didapati positif dadah opiate dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]