Fizi Amer pilih Datuk Siti, Alif Satar

in Hiburan by
Fizi Amer

Fizi Amer pilih Datuk Siti, Alif Satar


PELAKON baharu, Fizi Amer memberitahu bahawa selain daripada berlakon dia juga berminat untuk bergelar penyanyi.  Justeru, dia mahu menyertai kelas vokal terlebih dahulu sebelum menghasilkan single pertamanya nanti.


Hajatnya adalah untuk berguru dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza.


“Saya memang suka menyanyi sejak dari kecil lagi dan sudah lama menyimpan impian itu.  Bagaimanapun, bidang lakonan terlebih dahulu memberikan saya laluan awal ke dalam industri ini.


“Sekarang saya sudah bersedia tambahan pula ruang sudah terbuka buat saya merealisasikan keinginan itu,” ujarnya yang bakal melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Sukan September depan di UiTM, Shah Alam.


Selain Siti, Fizi yang juga seorang model menjadikan Alif Satar sebagai idolanya kerana mempunyai kredibiliti dan personalitinya hebat.


“Bagi saya Alif seorang yang mempunyai bakat besar. Selain bergelar pelakon, dia juga seorang pengacara dan penyanyi.


“Dia perluaskan bakatnya walaupun mengambil masa yang lama,” tuturnya.


Bercerita mengenai projek akan datang, Fizi atau nama penuhnya Muhammad Nurhafizi Amer, 24, bakal bersiaran di NTV7 sebagai El gandingan Abby Nour dan Ruzana Ibrahim menerusi drama bersiri 20 episod Rahasia Kasih arahan Jamal Khan terbitan Suhan Movies.


“Watak El ini anak orang kaya yang baru sahaja tamat belajar dan sanggup membantu rakan rapatnya untuk membuka butik.


“Bagi saya drama pada kali ini banyak bermain dengan emosi sebagai contoh pertelagahan berlaku disebabkan selisih faham antara El dan Ila disebabkan gambar yang diterima oleh Ila.


“Selain itu sikap Melinda yang suka melaga-lagakan keluarga Ila memberi kesan buruk terhadap perhubungan Ila dan El. Untuk selanjutnya bagaimana saya menyahut cabaran watak itu boleh saksikan nanti,” katanya berdebar.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]