Gajah mati mungkin akibat pergaduhan

in Nasional by


SANDAKAN – Bedah siasat ke atas  gajah jantan yang ditemui mati berhampiran sebuah kem pembalakan terbiar di Hutan Simpan Kuamut di Kinabatangan menunjukkan haiwan itu mengalami retak teruk pada bahagian kiri tempurung kepala, yang membawa kepada kematiannya.


Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), Siti Nur’Ain Ampuan Acheh berkata kecederaan itu mungkin  berpunca daripada pergaduhan dengan gajah lebih besar dalam kelompoknya.


Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata SWD merakamkan terima kasih kepada petugas Rakyat Berjaya Sdn Bhd yang memaklumkan kepada jabatan itu tentang gajah terbabit, dianggarkan berusia antara lima dan lapan tahun.


Siti Nur’ Ain berkata pada 19 Julai,  SWD menerima laporan seekor anak gajah  dijumpai mati berhampiran sebuah kem pembalakan terbiar di Hutan Simpan  Kuamut.


Beliau berkata sebuah pasukan daripada jabatan itu dihantar ke lokasi untuk menyiasat dan melakukan bedah siasat bagi menentukan punca kematian.


Gading gajah itu masih  utuh dan haiwan itu dipercayai mati antara tiga dan empat hari lepas sebelum dijumpai. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]