Kaka Azraff cuba nasib di Indonesia

in Hiburan by

Kaka Azraff cuba nasib di Indonesia


SENTIASA menyasarkan yang terbaik dalam setiap single yang diperkenalkan kepada peminat, penyanyi Kaka Azraff mengakui mengambil sedikit masa sebelum tampil dengan lagu baharunya, Sibuk, dilancarkan pada Jumaat.


Memastikan dirinya masih mengekalkan identiti muzik yang dibawa sejak mula dikenali, Kaka cuba memastikan pemilihan lagu dibuat dengan tepat menerusi kerjasama dengan penerbit yang memahami apa yang terbaik untuknya.


Berkongsi lebih lanjut tentang lagu ciptaan sepenuhnya daripada Alif Sleeq, Kaka menganggap peluang menjadikan Sibuk sebagai single terbaharunya sebagai satu tuah.


“Banyak cerita di sebalik lagu Sibuk, tapi alhamdulillah akhirnya ia muncul sebagai single keenam saya selepas selepas lagu Kembali.


“Apa yang buat saya gembira apabila sekali lagi dapat bekerjasama dengan Alif yang saya sifatkan sebagai cukup memahami saya dalam muzik dan apa yang sesuai mahupun tidak dengan saya.


“Sibuk memang kena direction muzik saya dan percaya bila peminat dengar lagunya,  mereka dapat rasakan elemen Kaka ada dalam lagu tersebut,” katanya yang akan melancarkan muzik video lagu ini 3 Ogos depan.


Selain sibuk dengan pembikinan album dan single Sibuk, Kaka juga aktif dengan dunia lakonan dan bakal muncul dengan filem terbaharunya, Zharfa The Movie, sebuah filem Indonesia.


“Tawaran datang tanpa saya duga beberapa bulan lalu, namun saya anggap ia sebagai rezeki saya menimba pengalaman dengan produksi di sana yang mempunyai cara kerja yang sangat berbeza dengan kita.


“Kebetulan watak yang diberikan kepada saya sangat menarik, malah bakal mencabar diri saya dalam lakonan menerusi karakter Zharfa yang saya sifatkan cukup complicated.


“Kami sudah pun selesai menjalani penggambaran  Ramadan lalu di mana 80% dilakukan di Indonesia dan selebihnya di Malaysia,” katanya yang tidak sabar menantikan tayangannya sekitar September depan.


Memasang hasrat untuk melebatkan bakatnya ke pasaran Indonesia, Kaka mengharapkan agar filem ini bakal menjadi platform terbaik untuknya memperkenalkan dirinya kepada peminat di sana.


“Insya-ALLAH perancangan yang sedang saya aturkan untuk melebarkan kerjaya di sana.


“Meskipun dapat peluang untuk ke sana menerusi bidang lakonan, saya kira ini juga merupakan peluang terbaik untuk saya membawa sekali muzik saya untuk diperkenalkan kepada mereka.


“Sebenarnya saya banyak mendapat komen daripada peminat-peminat Indonesia yang bertanyakan tentang lagu-lagu saya dan berharap saya dapat menembusi pasaran di sana. Jadi mungkin inilah masanya,” jelas Kaka.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]