Kelantan kekal tuntut 5% royalti berdasarkan pengeluaran

in Nasional by


KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan tetap mahukan kerajaan membayar lima peratus tuntutan royalti minyak berdasarkan hasil pengeluaran dan bukannya keuntungan negeri sebagaimana perjanjian dengan Petronas.


Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pemberian 20 peratus berdasarkan keuntungan adalah perkara baharu yang sebelum ini turut terkandung dalam manifesto PH pada PRU14 lalu.


“Sebagaimana yang terkandung dalam perjanjian, menyebut Petronas mesti membayar lima peratus kepada kerajaan negeri dan lima peratus kepada Kerajaan Persekutuan.


“Asas tuntutan Kelantan ialah lima peratus. Asas yang dipersetujui dalam perjanjian. Itu yang penting. Mengikut pemahaman kita lima peratus itu berdasarkan pengeluaran, tidak berbangkit soal keuntungan,” katanya kepada media di sini, hari ini.


Pada persidangan Dewan Rakyat 19 Julai lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu kerajaan PH akan memenuhi janji menyalurkan 20 peratus keuntungan minyak kepada empat negeri pengeluarnya.


Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan berkata, tuntutan sebanyak lima peratus itu lebih praktikal berbanding 20 peratus memandangkan syarikat cari gali terlibat akan berdepan dengan kerugian.


“Kalau dia (kerajaan PH) kata tidak mahu bayar lima peratus dan mahu bayar 20 peratus itu alhamdulillah. Jumlah itu lebih besar. Cuma pada pandangan kita sama sahaja, lima atau 20 peratus sepatutnya tidak berasaskan kepada keuntungan,” katanya.


Mohd Amar berkata, berdasarkan perkiraan Kerajaan Kelantan dengan kadar lima peratus daripada hasil pengeluaran, pihak berkenaan perlu membayar sekurang-kurangnya RM700 juta setahun kepada Kelantan.


Dalam masa sama, Mohd Amar berkata, jawatankuasanya akan menimbang tara perkara tersebut secara mendalam dan sebarang cadangan akan dipanjangkan kepada Kerajaan Persekutuan nanti.


Mohd Amar juga berkata, kerajaan telah membuat perancangan terbaik sejak pemerintahan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi di bawah pelan Kesejahteraan Rakyat Kelantan dengan pelbagai cabang manfaat sekiranya wang royalti tersebut dibayar.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]