Mohd Shafie layak kemudi Sabah: TPM

in Politik by


KOTA KINABALU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sangat layak untuk mengemudi Sabah berikutan pengalaman luas beliau berkaitan negeri ini.


Beliau berkata Mohd Shafie mempunyai kemahiran dan lebih mengetahui untuk menerajui negeri Sabah yang sebelum ini di bawah pimpinan  BN.


“Saya memberi kepercayaan penuh kepada beliau (Mohd Shafie) yang telah memberi nafas baharu kepada negeri ini dan memperbetulkan keadaan yang perlu diperbetulkan kerana beliau lebih mahir.


“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang kini menerajui kerajaan baharu Sabah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Mohd Shafie di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya, di sini hari ini.


Beliau berkata dalam kunjungan hormat itu, kedua-dua pihak  bertukar-tukar pandangan mengenai parti masing-masing.


​​​​​​​”Kunjungan hormat ini begitu menggalakkan dengan suasana kekeluargaan dan saya berterima kasih kepada ketua menteri kerana menerima kunjungan kami…kita bertukar-tukar pandangan kerana perjuangan (parti) kita mempunya persamaan,” katanya.


Sementara itu, Mohd Shafie  berkata semasa kunjungan hormat itu beliau telah menerangkan sedikit sebanyak  mengenai perkembangan di Sabah termasuk dari segi pentadbiran serta permasalahan yang dihadapi.


Ditanya sama ada perbincangan itu turut melibatkan tentang isu royalti minyak, beliau berkata tiada perbincangan mengenai isu tersebut kerana semua pihak sudah mengetahui bahawa perkara itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan dan Warisan  semasa Pilihan Raya Umum Ke-14.- Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]