Nama Ustaz Hamadi lekat dengan Azhan Rani

in Hiburan by
Azhan Rani

Nama Ustaz Hamadi lekat dengan Azhan Rani


MESKIPUN drama bersiri Nur telah pun melabuhkan tirai hujung Ramadan lalu, namun sehingga kini watak Ustaz Hamadi masih tetap diingati, malah begitu sinonim dengan pelakon yang menjayakan watak tersebut Azhan Rani.


Selepas membintangi Nur, nama pelakon asal Kuala Kubu Bharu ini menjadi sebutan ramai, bukan hanya di kalangan penonton dewasa, tetapi juga golongan kanak-kanak yang ternyata berasa terkesan dengan gaya persembahannya menerusi watak itu.


Azhan sebenarnya merupakan antara pelakon yang cukup disegani bakatnya dalam industri, cuma mungkin namanya kurang mendapat perhatian kerana ruang publisiti hari ini lebih terarah kepada populariti seseorang artis berbanding bakat seni.


“Memang saya tidak menolak kepentingan populariti dalam kerjaya seni seseorang, namun untuk diri sendiri, saya lebih melihat dan pentingkan kepada usaha serta hasil kerja yang dilakukan.


“Saya anggap populariti yang dikecap menerusi drama baru-baru ini sebagai rezeki atas usaha dan keikhlasan saya bekerja.


“Tidak kiralah cerita tersebut bersifat komersial atau tidak, mahupun berpotensi untuk popular atau sebaliknya, sebagai pelakon saya harus memenuhi tuntutan watak tersebut dengan sebaiknya dan itu yang sering saya lakukan dalam setiap lakonan saya,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon pembantu Terbaik di Anugerah Tribute P. Ramlee 2015.


Mungkin kerana prinsip teguh yang di dokong itu juga, ramai pihak yang selesa dan senang bekerjasama dengan Azhan. Meski bukan untuk watak utama, penampilan Azhan tetap diharapkan untuk terlibat dalam projek terbaharu mereka.


Azhan mengakui amat berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan banyak pihak terhadap bakat lakonannya. Justeru, meski hanya ditawarkan sebagai watak pembantu, pelakon ini cuba untuk memenuhinya asal sahaja watak yang diberikan itu bersesuaian dengan dirinya dan memberi manfaat kepada penonton.


“Alhamdulillah walaupun bukanlah watak utama, namun tawaran kerja yang baik sentiasa ada sehingga kadang-kadang saya perlu menolaknya atas sebab pertindihan waktu dan komitmen.


“Saya percaya pada rezeki ALLAH. Ada ketika kita dapat lebih, bersyukurlah. Begitu juga jika sebaliknya, bersabarlah,” katanya yang juga merupakan seorang pelakon yang hebat di pentas teater.


Berkongsi tentang perkembangan terbaharunya, kata Azhan, dia kini baru sahaja selesai menjalani penggambaran enam episod untuk siri KL Gangster Under World yang bakal disiarkan di saluran Iflix tidak lama lagi bersama Beto Kusyairy dan Amerul Affendi.


“Karakter yang agak berat untuk saya, tetapi dalam masa yang sama ia merupakan cabaran baharu untuk sahaja dalam kerjaya,” kata Azhan yang cukup dikenali dengan sikap rendah dirinya ini.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]